Tuesday, March 24, 2009

HAPPY 33RD BIRTHDAY TO MY OLDER SISTER
HERDAWATI BINTI GIRIM
ON 24TH MARCH 2009
MAY ALL YOUR DREAMS COME TRUE & HAPPY ALWAYS

Alam Cyber

Pada awal pembabitan saya sebgai blogger, saya amat kagum dengan para bloggers yang punya ramai teman cyber malah punya followers dan visitors yang tetap. Saya percaya yang mereka ini di luar juga adalah jenis orang yang suka berkenalan dan beramah mesra.

Selain sentiasa aktif untuk mengemaskini blog, mereka juga rajin melayan pertanyaan dan komen-komen yang diberi dalam entry mereka. Mungkin minat, kesungguhan dan addictnya diorang pada blog adalah amat tinggi. Tahniahlah kepada mereka yang berjaya menjadikan alam cyber sebagai ruang silaturrahim yang sangat bermanfaat.

Bagi saya, untuk menjadi blogger tegar seperti mereka ini perlukan masa. Namun saya percaya bagi mereka ini, masa bukan menjadi masalah malah semangat dan minat untuk berada di alam cyber sentiasa di dalam fikiran dan sudah terjadual.

Yang amat menyedihkan ialah apabila ada di antara bloggers yang mengambil ruang cyber ini sebagai tempat untuk meluahkan perasaan dengan cara yang negatif. Mereka menulis entry yang memburuk-burukkan orang lain dan ada pelawat yang mengkritik dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan perasaan pemilik blog.

Baru-baru ini ada artikel dalam sebuah majalah yang membincangkan tentang "Internet....muslimah buka pintu fitnah?". Bagi saya semuanya bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran hati setiap penulis. Bagi mereka yang salah tafsir dan cuba berfikiran negatif, baiklah jangan menyebarkan sesuatu yang bakal mengundang masalah.

Nota: Fikirlah sebelum menulis.

Saturday, March 21, 2009

Inilah Aku

Inilah Aku...
Yang sederhana
Yang redha
Yang biasa

Inilah Aku...
Sentiasa mendengari
Sentiasa memerhati
Sentiasa meneliti

Inilah Aku...
Cuba memahami
Cuba berinteraksi
Cuba berdikari

Inilah Aku...
Suka mencari
Suka menasihati
Suka menyendiri

Namun hanya Aku yang memahami diriku...

Novel: Menongkah Senja ~ 1

"Heeeeeiiii banyak betullah semut ni. Entah mana datang pun tak tau la. Air kosong pun dia masuk, kalau air manis tu lain ceritala," Mak Ros membebel. Mana tidaknya, kole air kosongnya yang diletak bersebelahan peti televisyen dipenuhi dengan semut halus...orang kata semut mayat tapi tak taula betul ke tidak.

"Badan ni pun dah tak pakai...sakit sana, sakit sini. Belum hilang sakit tangan, mulut pulak sakit. Ni kaki pulak dah berlubang. Potong lagi baikla kaki ni. Berdenyut aje...nak tido pun tak senang. Allah tak nak ambik pulak nyawa ni...diberinya seksa. Azab....azab", Mak Ros masih menceceh. Entah kenapa agaknya pagi itu dia begitu marah sekali.

Di dapur, si Nani, menantu Mak Ros yang satu sedang sibuk menggoreng nasi. Dia berasa agak kurang selesa dengan leteran pagi mertuanya dan cuba meneka apa yang tidak kena pada pagi itu. Mungkin sebab hidangan sarapan yang belum tersedia atau mungkin juga kerana kesakitan kakinya yang memang tidak tertahan.

Apapun, Nani memang sudah biasa dengan suasana pagi yang sebegitu, dia hanya perlu tersenyum sambil pekakkan telinga dan kunci mulut. Dia faham benar dengan sikap mertuanya yang suka membebel dan mengeluh terutama sekali tentang penyakitnya.

"Nani....o...Nani. Ni tolong mak kejap ni", jerit Mak Ros sambil berjalan menuju kepada Nani dengan membawa telefon bimbitnya beserta sekeping kertas. Si Nani yang sedang mencuci pinggan menghentikan cuciannya dan menuju kepada ibu mertuanya di pintu menuju ke dapur.

"Ni ha...tolong telefonkan klinik Ariffin ni... Mak nak tanya dengan doktor tu boleh ke tidak nak dicuci kudis ni. Tak tahan betullah...bedenyut-denyut macam mengangkut nanah rasanya. Selagi tak dikorek dicuci, rasanya takkan baik-baiklah...dah macam-macam krim, macam-macam minyak dibubuh, tak jugak kurang" terang Mak Ros berjela yang begitu geram dengan sakit pada kudis di buku lali kaki kirinya.

Kudis pada buku lali Mak Ros pada mulanya hanya melecet, kemudian merebak menjadi kudis yang bernanah. Memandangkan dia menghidap kencing manis, luka kudisnya memang sukar untuk dipulihkan malah sudah membesar sebesar duit satu sen. Sebelum ini, ada juga dia luka di kaki, tetapi selepas dicuci di hospital, lukanya sembuh. Itupun hampir berbulan juga dia merawatnya. Sampai sekarang pun masih ada kesan parut kehitaman di bawah lututnya.

Nani yang malas nak melayan rungutan mertuanya pun mengambil telefon bimbit Mak Ros dan mendail nombor yang tertera pada kertas yang diberi. Bila sudah terdengar ada nada, dia terus menyerahkan telefon itu pada mertuanya. "Dapat tak?" tanya Mak Ros. "Kejap lagi ada la tu...dengar je.." balas Nani. Mak Ros pun berlalu dengan telefonnya ke ruang depan sambil bercakap di telefon.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian Mak Ros datang semula ke dapur sambil membebel, "Doktor ni pun asyik sibuk aje...nak cakap sekejap pun tak boleh. Susah betullah hidup ni. Buat menghabiskan duit aje telefon dia...kalau tak sakit, aku takde nak membazir-bazir telefonlah..."

"Susahla hidup ni... mati lagi baikla..." Mak Ros terus merungut.

Thursday, March 12, 2009

Berubah?

Mari kita bercerita tentang "Berubah".......berubah dalam erti kata menjadi lebih baik dari sebelumnya...

Siapa yang perlu berubah?
Sesiapa sahaja boleh berubah asalkan ada kemahuan. Tapi biasanya mestilah orang yang berakal dan yang dah dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Kalau ada yang nak berubah ke arah yang tidak baik, itu maknanya dia dah tak sayang diri ataupun memang dia tu dah gila.

Apa yang perlu diubah?

Ubah biasanya mestilah merujuk kepada apa-apa sahaja yang boleh diubah. Misalnya, sikap, suasana, tempat atau rupa bentuk sesuatu. Biasanya, untuk membuat perubahan, kita kena ambil kira faktor kepentingannya. Apakah sesuatu itu sangat penting hingga kita perlu mengubahnya?

Kenapa nak berubah?
Sebenarnya perubahan mestilah untuk ke arah kebaikan. Takde maknanya kalau nak berubah ke arah yang lebih buruk. Misalnya, yang malas kepada rajin, hodoh kepada cantik, jauh kepada dekat dan sebagainya. Senang cerita, berubah mestilah untuk sesuatu yang lebih baik sama ada untuk dirasai, dipandang atau dinilai.

Bila nak berubah?
Ini adalah persoalan yang selalu menjadi teka-teki sebab ada orang bila dah terhantuk barulah terngadah. Tak kurang juga yang menunggu sampai seru dan ada juga yang meletakkan masa-masa tertentu untuk berubah. Tetapi sebaik-baiknya biarlah perubahan itu dibuat apabila kita sedar yang ianya perlu diubah. Janganlah bertangguh-tangguh sebab mungkin keadaan akan menjadi lebih buruk jika kita masih tidak berubah.

Bagaimana nak berubah?
Bagaimana nak berubah biasanya bergantung kepada cara, pendekatan, kaedah atau apa yang perlu dibuat yang mengambil kira waktu sebelum, semasa dan selepas berubah. Persediaan sebelum membuat perubahan seperti memasang niat dan membuat perancangan adalah amat penting untuk memastikan perubahan yang akan dibuat lebih teratur dan tidak memberi impak yang negatif kepada diri, orang sekeliling dan mereka yang terbabit. Perubahan hendaklah berasaskan ilmu dan pengalaman agar perubahan yang dibuat memberi kesan yang positif. Kalau boleh pilihlah idola atau pemangkin yang boleh memberi pandangan atau tunjuk ajar ke arah perubahan yang lebih baik. Dapatkan tips-tips dari buku-buku atau majalah-majalah ilmiah yang boleh membantu anda mengubah kebiasaan yang tidak berfaedah kepada sesuatu yang lebih bermanfaat.

Berapa lama nak berubah?
Jawapan untuk persoalan ini sepatutnya hanya satu iaitu selagi ianya membawa manfaat. Malah jika sesuatu perubahan itu perlu diubah lagi, maka ianya perlulah kepada yang lebih baik dan lebih baik. Sekiranya sesuatu perubahan itu sudah menjadi yang terbaik, maka ianya haruslah dikekalkan hingga ke akhir hayat.

Wallahua'lam.

Nota:
Berubahlah demi kebaikan. InsyaAllah, Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang membuat kebaikan.