Tuesday, April 28, 2009

Sakit oh Sakit...

Dalam seminggu dua ini, kami sekeluarga semuanya sakit-sakit. Dimulakan dengan ibu mertua saya yang dah memang berpenyakit kencing manis. Kini dia masih lagi di hospital menjalani rawatan akibat komplikasi penyakit diabetes yang dihidapinya. Pada hari Ahad lalu sebelah kakinya dipotong kerana jangkitan kuman yang serius.

Pada minggu lepas juga, Aqmar Nur Arif tiba-tiba diserang demam panas dan cirit birit hampir seminggu. Dia nyaris dimasukkan ke hospital kerana terdapat pendarahan pada najisnya. Alhamdulillah, sejak dua tiga hari ini dia sudah semakin pulih dan nampak ceria seperti biasa.

Sedang kami sibuk berulang alik ke hospital setiap hari menjenguk ibu mertua saya, Abang pula mendapat selesema dan sakit tekak hingga tidak selera makan sebab tekaknya terasa pahit. Ini juga mungkin disebabkan oleh keadaan cuaca yang amat panas di sini.

Bila Abang dah mula selesema, akhirnya Hakim dan saya juga berjangkit. Kini kami anak-beranak semuanya berhingus dan ting tong aje. Semalam, Hakim tidak ke sekolah sebab sakit kepala dan tekak yang teramat sangat.

Nota:
Semoga saya diberi ketabahan untuk melalui semua ini. InsyaAllah.

Thursday, April 23, 2009

Erti Sebuah Kesabaran

Sabar...
Berapa lama harus aku bersabar? atau
Sampai bila aku dapat bersabar?

Sabar...
Berbaloikah kesabaran ini? atau
Berbalaskah pengorbanan ini?

Sabar...
Sanggupkah aku meneruskannya? atau
Bagaimana jika aku berhenti di sini?

Sabarlah...
Dalam menjalani ibadahNya

Sabarlah...
Dalam menjauhi laranganNya

Sabarlah...
Dalam menempuh hidup di dunia ini

Sabarlah...
Dalam menanti sinar abadi di sana nanti

Tuesday, April 21, 2009

Novel: Menongkah Senja ~ 2

"Man....o Man... Tolongla mak ni Man. Tolonglah belikan Mak tosei...tekak ni nak makan toseilah..." jerit Mak Ros di pintu dapur sedangkan anak tunggalnya masih lagi berselimut.

"Susahlah macam ni...ulu hati aku ni dah sakit tau tak? Nasi goreng mak tak nakla. Keras...lagi sakit ulu hati aku ni nanti", Mak Ros memberitahu tetapi si Man masih tak bangun-bangun. Bila terasa seperti permintaannya takkan dilayan oleh anaknya, Mak Ros terus ke dapur mencari biskut kering untuk dimakan sebagai alas perut.

Nani yang sudah selesai menggoreng nasi terus menuju ke bilik air untuk mandi. Sebagai isteri, Nani sudah faham benar dengan sikap suaminya yang tidak akan melayan permintaan Mak Ros dengan segera apatah lagi untuk bangun pagi pada hujung minggu begini.

Bagi Nani pula, ini bukanlah kali pertama mertuanya merengek untuk dibelikan sarapan bila dia terlambat atau memasak sesuatu yang bukan kegemaran orang tua itu. Tapi yang hairannya, sebelum ini bukannya dia tak pernah nampak mertuanya makan nasi goreng yang dia masak, malah adakalanya dipuji dan bertambah-tambah pula.

Sebenarnya hari itu, Nani berasa sayang untuk membuang nasi semalam sebab masih elok dan banyak lagi. Nak diberikan pada kucing, bimbang mertuanya marah pula sebab pernah satu hari dia dilarang mertuanya dari memberi kucing makan. Mak Ros begitu marah bila Nani cuba memberi makan pada kucing-kucing yang datang entah dari mana. Dia takut bila sudah diberi makan sekali, nanti kucing-kucing itu akan selalu datang ke rumahnya. Tapi kalau dia yang buang makanan di belakang, dipanggilnya kucing datang. Entahlah...Nani tidak faham dengan sikap mertuanya.

Sambil mengunyah biskut kering, Mak Ros tidak henti merungut, "Mulut ni pun pahit aje...mana tidaknya...makan ubat tak berenti-renti. Tunggu mati aje barula berenti agaknye."

Selesai mandi, Nani mengejutkan suaminya untuk ke pasar. Lagipun memang sudah menjadi rutin si Razman untuk ke pasar pada setiap pagi hari minggu. Dialah yang akan membeli barang-barang pasar untuk stok seminggu yang telah disenaraikan oleh Nani.

"Eh, kenapa tak kejutkan Abang awal sikit? Abang dah janji dengan Jabar nak pergi sama hari ni," Razman sedikit menggelabah dan terus mengangkat badan untuk duduk di bibir katil.

"Laa...manalah saya tau...Abang tak cakap pun. Tadi Mak panggil-panggil, Abang tak dengar ke?" tanya Nani kehairanan.

Sambil menggeleng kepala, Razman bingkas bangun dan membetulkan kain pelekatnya. Dia sempat mencium pipi isterinya sebelum melangkah keluar untuk mencuci muka di dapur.

Thursday, April 16, 2009

Selamat Ulang Tahun!


Untuk kenang-kenangan, hari ni saya kuatkan juga semangat untuk menulis entry ini walaupun dah tak punya banyak masa untuk blogging. Lagipun lately, badan selalu letih...tak tau kenapa.

16 April 2009 merupakan ulang tahun kelahiran saya yang ke 32. Memandangkan birthday kebetulan pada hari Khamis, saya pun berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Ilahi kerana telah memberi saya peluang berada di dunia yang fana ini.

Malam sebelumnya, Abang membeli kek dan menghadiahkan saya sebotol minyak wangi femme HUGO BOSS. Selain daripada tu, kami sekeluarga hanya makan-makan special di rumah.

Minggu lepas, pada 9 April iaitu hari yang sama merupakan hari jadi arwah ayah yang ke 58 tahun. Masih segar di ingatan saya di mana pada tahun lepas saya belanja ayah makan KFC pada hari jadinya. Bila tiba hari jadi saya pada minggu depannya, ayah tiba-tiba datang membawa sebiji kek untuk saya. Terharu saya dibuatnya...

Tahun ini, ayah sudah tiada...hanya doa sahaja yang dapat saya hulurkan buat ayah di sana. Semoga dia ditempatkan bersama para solihin.

Kepada semua yang memberi ucapan, saya ucap terima kasih banyak-banyak. Saya cuma mengharapkan doa daripada anda semua agar saya terus dilimpahi rahmat dan kebahagiaan hidup di dunia & akhirat. Terima kasih.