"Badan ni pun dah tak pakai...sakit sana, sakit sini. Belum hilang sakit tangan, mulut pulak sakit. Ni kaki pulak dah berlubang. Potong lagi baikla kaki ni. Berdenyut aje...nak tido pun tak senang. Allah tak nak ambik pulak nyawa ni...diberinya seksa. Azab....azab", Mak Ros masih menceceh. Entah kenapa agaknya pagi itu dia begitu marah sekali.
Di dapur, si Nani, menantu Mak Ros yang satu sedang sibuk menggoreng nasi. Dia berasa agak kurang selesa dengan leteran pagi mertuanya dan cuba meneka apa yang tidak kena pada pagi itu. Mungkin sebab hidangan sarapan yang belum tersedia atau mungkin juga kerana kesakitan kakinya yang memang tidak tertahan.
Apapun, Nani memang sudah biasa dengan suasana pagi yang sebegitu, dia hanya perlu tersenyum sambil pekakkan telinga dan kunci mulut. Dia faham benar dengan sikap mertuanya yang suka membebel dan mengeluh terutama sekali tentang penyakitnya.
"Nani....o...Nani. Ni tolong mak kejap ni", jerit Mak Ros sambil berjalan menuju kepada Nani dengan membawa telefon bimbitnya beserta sekeping kertas. Si Nani yang sedang mencuci pinggan menghentikan cuciannya dan menuju kepada ibu mertuanya di pintu menuju ke dapur.
"Ni ha...tolong telefonkan klinik Ariffin ni... Mak nak tanya dengan doktor tu boleh ke tidak nak dicuci kudis ni. Tak tahan betullah...bedenyut-denyut macam mengangkut nanah rasanya. Selagi tak dikorek dicuci, rasanya takkan baik-baiklah...dah macam-macam krim, macam-macam minyak dibubuh, tak jugak kurang" terang Mak Ros berjela yang begitu geram dengan sakit pada kudis di buku lali kaki kirinya.
Kudis pada buku lali Mak Ros pada mulanya hanya melecet, kemudian merebak menjadi kudis yang bernanah. Memandangkan dia menghidap kencing manis, luka kudisnya memang sukar untuk dipulihkan malah sudah membesar sebesar duit satu sen. Sebelum ini, ada juga dia luka di kaki, tetapi selepas dicuci di hospital, lukanya sembuh. Itupun hampir berbulan juga dia merawatnya. Sampai sekarang pun masih ada kesan parut kehitaman di bawah lututnya.
Nani yang malas nak melayan rungutan mertuanya pun mengambil telefon bimbit Mak Ros dan mendail nombor yang tertera pada kertas yang diberi. Bila sudah terdengar ada nada, dia terus menyerahkan telefon itu pada mertuanya. "Dapat tak?" tanya Mak Ros. "Kejap lagi ada la tu...dengar je.." balas Nani. Mak Ros pun berlalu dengan telefonnya ke ruang depan sambil bercakap di telefon.
Tidak sampai sepuluh minit kemudian Mak Ros datang semula ke dapur sambil membebel, "Doktor ni pun asyik sibuk aje...nak cakap sekejap pun tak boleh. Susah betullah hidup ni. Buat menghabiskan duit aje telefon dia...kalau tak sakit, aku takde nak membazir-bazir telefonlah..."
"Susahla hidup ni... mati lagi baikla..." Mak Ros terus merungut.
No comments:
Post a Comment