Terima kasih ya Allah atas segala nikmat dan rahmat yang diberikan pada saya sekeluarga sepanjang 1431 & 2010... Alhamdulillah, syukur yang tak terhingga...Terlalu banyak perkara-perkara besar yang berlaku pada saya dan keluarga yang tidak tercoret di sini buat kenang-kenangan.
Apapun, 1431 & 2010 benar-benar membawa perubahan besar dalam kehidupan saya terutama sekali apabila:
~ pada 1/8/2010, saya melahirkan anak yang ketiga, iaitu seorang puteri yang sangat comel mirip ayahnya...Nur Aqmar Afiqah binti Ahmad,
~ pada 5/12/2010, adik bongsu saya selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya.
~ pada 6/12/2010, ibu mertua yang saya jaga selama ini telah pulang ke rahmatullah setelah dua minggu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi penyakit diabetesnya,
~ pada 12/12/2010, majlis resepsi perkahwinan adik bongsu saya di pihak ibu,
~ pada 14/12/2010, perkumpulan keluarga 3 hari 2 malam yang selama ini saya impikan akhirnya berjaya juga dianjurkan di Desaru Damai Beach resort.
Walaupun pelbagai peristiwa manis berlaku pada saya tetapi semuanya dilalui dengan kesabaran kerana ada kepayahan yang terpaksa diharungi terutamanya semasa selepas melahirkan Afiqah dan sebelum pemergian ibu mertua ke rahmatullah.
Selepas melahirkan anak perempuan, saya terpaksa mengharungi saat berpantang sambil menjaga mertua yang sudah semakin lemah dan perlu lebih perhatian. Sebelum pemergian mertua pula, saya terpaksa berulang alik ke hospital sedangkan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk manakala abang pula sibuk outstation di Kota Tinggi.
Apapun, di saat mengharungi kepayahan demi kepayahan, Allah tidak putus mempermudahkan segalanya buat saya...misalnya, saya tiada mengalami banyak komplikasi selepas melahirkan berbanding dua anak sebelumnya dan pulang cepat...hanya satu malam sahaja saya di hospital. Terima kasih yang tak terhingga juga buat ibu saya yang sudi membantu.
Semasa ibu mertua di hospital, Allah telah mengirimkan kakak ipar buat saya bagi membantu saya menjaga anak-anak terutama sekali semasa ketiadaan suami yang outstation, malah ada pula saudara yang sudi menjaga mertua di hospital.
Ketika mertua terlantar di hospital, hati saya sering berbelah bahagi sama ada mahu menolong ibu yang sibuk hendak bermenantu atau menjaga mertua yang sakit. Namun segalanya saya cuba seimbangkan agar tiada yang berkecil hati. Saya dan suami terpaksa bergilir semasa pernikahan adik dan persandingannya di sebelah pihak perempuan. Akhirnya, mertua pergi selepas sehari majlis persandingan adik yang mana saya turut pergi menghantarnya. Selepas permergian mertua, dapatlah saya membantu ibu membuat persiapan majlis perkahwinan adik bongsu di pihaknya.
Saya memang amat bersyukur sekali dan percaya dengan janji Allah di mana setiap kesukaran ada kemudahan. Saya menganggap apa yang berlaku adalah rencana Allah, hanya kesabaran sahaja yang memberi ketenangan buat saya. Malah, selepas ujian demi ujian, saya sekeluarga dilimpahi rezeki yang melimpah ruah sehingga kami mampu menaja penginapan untuk perkumpulan keluarga di Desaru selain membeli perabot-perabot baru menggantikan perabot-perabot lama di rumah.
Sebagai tanda syukur yang tidak terhingga, 2011 ini, saya dan suami juga mengambil keputusan menjaga dua anak saudara yang sedang bersekolah di tingkatan 5 dan 2 kerana masalah keluarga. Harap, apa yang kami lalui akan menambah amal kebajikan kami untuk mendapat keredhaanNya dan rahmatNya yang berpanjangan...InsyaAllah.
apa sudah jadi madani!?
2 days ago
No comments:
Post a Comment