Wednesday, January 12, 2011

Sunyi di hati ibu....

Sunyi...sepi..., aku cuba mengerti kenapa semakin usiamu meningkat kau semakin sunyi dan sepi walaupun keluargamu semakin besar...punya anak & cucu yang ramai. Ya, kalau dahulu kau dikelilingi anak-anak dan suami tercinta tetapi kini kau sendiri. Seorang demi seorang pergi meninggalkanmu.

Anak-anak semua sudah berumahtangga dan punya tanggungjawab masing-masing. Kau tidak ingin menyusahkan mereka, biarlah mereka melayari bahtera masing-masing tanpa gangguanmu...tanpa memikirkan tentangmu...kerana kau sendiri pernah mengalami bagaimana rasanya hidup sebumbung dengan orang tua.

Suami yang kau cintai pula telah pergi manyahut panggilan Ilahi...memang patut kau terasa amat sunyi setelah pemergiannya...namun aku tahu kau pasrah dengan ketentuanNya...yang hidup pasti akan mati...yang masih hidup perlu meneruskan kehidupan...hanya mereka yang senasib denganmu sahaja yang mampu memahami.

Semakin hari, kesunyian makin terasa. Tiada siapa lagi sudi menemanimu, bersenda gurau, usik mengusik dan bergelak ketawa denganmu terutama sekali di waktu hening. Kalau dulu kaulah yang sibuk bersusah payah untuk persekolahan anak-anak dan makan pakai suami, tapi kini itu semua sudah tiada. Kau sudah malas untuk semua itu...sudah tidak bermakna...segalanya hanya buat kau merindui masa lalu.

Anak-anakmu kini sibuk, tiada masa menjengukmu...sebulan sekali untuk pulang mejenguk pun susah, termasuklah aku...Memang aku terkilan, mana tidaknya, nama sahaja tinggal berdekatan, tetapi jarang sekali aku pulang menjenguk kau di kampung...maklumlah anak perempuan...nak buat apa-apa kena dengan izin suami. Namun kau tetap mengerti...sebab itulah setiap minggu kau yang datang menjengukku dan cucu-cucumu.

Bukan aku tidak mengajak kau tinggal bersama, tetapi terlalu banyak alasan yang kau beri...sayangkan rumahlah, barang-baranglah, kubur ayahlah...tapi aku tahu, itu semua hanya alasan...yang sebenarnya, kau tidak mahu mengganggu rumahtanggaku. Apapun, aku sentiasa menghormati keputusanmu...asalkan kau bahagia.

Aku tahu, bukanlah wang ringgit pengukur kasih sayang antara kau dan anak-anak, namun perhatian yang kau pinta. Teman berbual, bergurau senda dan usik-mengusik. Sebab aku memang tahu bagaimana mesranya kau dan arwah ayah dahulu.

Aku dan adik beradik yang lain memang ada terfikir untuk mencarikan jodoh buatmu kerana kami tahu, kau memang tidak biasa hidup sendirian. Namun kami tidak menyangka yang kau sudah terlebih dahulu memilih jodohmu sendiri. Bukan kami tidak setuju, tetapi kami rasa tindakan dan keputusanmu terlalu melulu sehingga kami tiada ruang untuk memberi pandangan.

Seperti mana jodoh anak-anakmu...kau tidak langsung menegah, marah mahupun memberi pandangan...malah kau serahkan bulat-bulat kepada kami untuk memilih. Oleh itu, kami juga mengharap sangat agar kau bijak dalam membuat pilihan.

Apapun, kau tetap ibu kami...kami tidak mahu kau berduka...malah biarlah kebahagiaan menjadi milikmu selamanya selepas ini kerana dahulu kau sudah melalui perit jerih berumahtangga. Memandangkan kau telah memilih untuk bersuami baru, kami tidak boleh menghalang jika itu yang dapat membahagiakanmu. Cuma harapanku dan adik beradik lain, janganlah kasih kita berkurang kerana tanggungjawab barumu.

Kami, anak-anakmu mendoakan agar jodoh barumu dirahmatiNya dan diberkati dunia akhirat. Semoga kau sentiasa berbahagia dan selamat...InshaAllah, kami anak-anakmu akan sentiasa merinduimu dan berharap agar hubungan kita masih seperti dahulu malah mungkin bertambah akrab dengan keluarga yang lebih besar...kerana walaupun kami sendiri telah menjadi ibu dan ayah, kami masih memerlukanmu...kasih sayangmu, doamu dan perhatianmu.

Maafkanlah anak-anakmu sekiranya kami ada berbuat salah dan silap, halalkanlah segala yang telah kau berikan pada kami...memang tidak akan terbalas jasamu kepada kami...terlalu banyak pengorbanan yang telah kau lakukan...kerana kaulah ibu yang sejati...terima kasih mak dan selamat pengantin baru. Semoga segalanya lancar, selamat dan dipermudahkan.

2 comments:

nia said...

sabaaa aje laaaa,
kat dunie ni macam2 dugaan

nurie said...

nia,
thanx...hidup ini memang kena sabar...malah segala yang baik atau buruk punya hikmah tersendiri...