Showing posts with label special day. Show all posts
Showing posts with label special day. Show all posts

Sunday, September 20, 2009

1 Syawal 1430H

Alhamdulillah...syukur pada Ilahi setelah sempurna ibadah puasa selama sebulan. Hari ini Syawal diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Syukur di atas segala nikmat yang telah diberi selama ini...walaupun berlapar dahaga di bulan puasa namun masih lagi merasai nikmat yang melimpah ruah. Syawal ini seharusnya menimbulkan keinsafan apabila di saat kita bergembira, masih ada insan yang serba kekurangan yang harus diberi perhatian.

Sehari sebelum Syawal, kami sibuk membuat persiapan akhir seperti mengemas rumah dan menyediakan keperluan untuk juadah hari raya. Tahun ini kami buat ala kadar aje...saya cuma masak ayam merah, kuah kacang dan kuah lodeh. Ketupat kitorang order saja sebab ikut selera mertua manakala rendang pulak mak offer nak tolong masakkan.

Seperti tahun-tahun yang lalu, saya menyambut Syawal di rumah mertua...maklumlah duduk dengan mertua. Nak buat macam mane, tak boleh nak elak. So, seperti biasa, pagi raya selepas sembahyang raya dan makan-makan, kami akan bergerak ke rumah mak. Nasib baik tahun ni abang saya berhari raya di rumah mak. Kalau tidak, tentu mak kesedihan...maklumlah 1 Syawal tahun lalu ayah pulang ke rahmatullah.

Di rumah mak, sempat juga kami ke pusara ayah dan menjenguk saudara mara yang berdekatan. Kalau tahun dulu-dulu mak mertua ikut sama, tapi kali ni dia tinggal di rumah saja sebab dah tak boleh bergerak macam dulu. So, kami pun terpaksa hadkan masa untuk ziarah sana sini sebab bimbang keperluan dia di rumah.

Si Hakim & Arif bukan main seronok dapat jumpa sepupu-sepupunya...pakai baju sedondon pulak tu...Pastu kitorang pun posing-posingla sikit untuk kenang-kenangan.

Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa

Sedih pulak rasanya bila tahun ini saya dah tak dapat ucapkan Selamat Hari Bapa pada ayah saya. Pemergian beliau pada 1 Syawal tahun lalu masih segar di ingatan. Rindu benar saya pada ayah...pada nasihat-nasihatnya, pada geletek dan gurauannya serta keperihatinannya.

Sebagai anak perempuan, ayah selalu berpesan agar saya taat pada suami dan bersabar menghadapi ujian berumahtangga. Saya sebenarnya banyak belajar tentang hidup melalui pengalaman ayah. Beliau seorang yang teratur, pembersih dan tegas namun sesekali dia boleh menjadi kawan kepada saya asalkan saya bijak mengambil hatinya.

Tidak dinafikan saya juga pernah berkecil hati dengan sikap ayah...namun manusia mana yang tidak melakukan kesilapan. Saya harus akur bahawa tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Sebagai anak, saya tidak perlu menyimpan dendam pada ibu dan ayah malah harus sentiasa memohon maaf kepada mereka serta menghormati mereka.

Berikut adalah antara perkara besar yang saya tidak boleh lupa pada ayah:
  1. Ayah hadiahkan saya jam tangan lepas dapat keputusan UPSR dan dukung saya atas bahu
  2. Ayah urutkan kaki saya bila saya lenguh2 masa demam pada usia 15 tahun
  3. Ayah temankan saya duduk sebab saya dah tak larat nak jalan kat zoo Taiping sedangkan adik beradik lain terus jalan2
  4. Ayah cakap "Takpe..ayah kan ade" masa dapat tahu saya putus cinta pertama
  5. Ayah yang carikan kerja di kampung untuk saya sebab nak pujuk saya balik duduk dengan dia
  6. Ayah melawat saya selepas sekian lama saya tak balik sejak ditipu pasal tawaran kerja (atas usaha ayah juga)

Apapun, segalanya tinggal kenangan. Banyak lagi perkara yg menarik dan sedih tentang ayah yang tak tercerita di sini.

Di sini, saya juga nak ambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di dunia ini khasnya buat suami saya, Ahmad, abang saya, Syahruljiza, abang ipar saya, Yusri serta adik ipar saya, Mohamad. Semoga kalian akan menjadi bapa yang mithali.

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu

Menjadi seorang ibu adalah satu anugerah yang paling istimewa bagi setiap insan bergelar wanita. Ibu adalah sanjungan tertinggi selepas Allah dan Rasul.

Selain mengandung dan melahirkan, seorang ibu yang sejati adalah mereka yang berperanan dalam menjaga, mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anaknya sejak kecil sehinggalah dewasa.

Alangkah bermaknanya pengorbanan seorang ibu apabila setiap anak-anaknya berjaya menjadi seperti apa yang diharapkan. Namun, tidak semua ibu yang merasai kemanisan seperti itu. Ramai juga ibu yang kecewa dengan sikap anak-anak.

Sebagai insan bergelar ibu, buatlah yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga tetapi hiasilah diri dengan kecintaan kepada Allah & Rasul untuk mendapat kejayaan yang abadi.

Selamat Hari Ibu buat semua ibu di seluruh dunia!

Selamat Hari Ibu juga buat ibu dan ibu mertua saya!

Saturday, January 24, 2009

Happy 5th Anniversary

Alhamdulillah...diam tak diam, dah 5 tahun saya berumahtangga...oppsssss sebenarnya rumah saya takde tangga pun! 24 Januari ni genaplah 5 tahun saya berkahwin dengan cik Abang saya yang comel tu....

Ikatan perkahwinan yang telah terbina selama lima tahun ini, telah mengurniakan saya dua cahaya mata comel, kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah serta keimanan yang semakin bertambah. Inilah antara nikmat perkahwinan yang amat saya syukuri dan berharap semoga segalanya akan menjadi lebih baik dan diberkati.

Tidak dinafikan, saya juga menghadapi beberapa cabaran dalam melayari bahtera rumahtangga, namun segalanya telah dapat saya lalui dengan tabah dan sabar. Kepadamu Abang... terima kasih yang tak terhingga kerana terlalu memahami diri ini dan banyak bersabar bila waktu-waktu 'ting-tong' datang.

Semoga jodoh ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat dan kehidupan kita beroleh rahmat dan nikmat dariNya yang berpanjangan di dunia dan akhirat.

Semoga perjalanan kehidupan saya seterusnya sebagai seorang isteri, ibu, anak dan menantu akan lebih bermakna dan diberkati. InsyaAllah.