Tuesday, May 19, 2009


SELAMAT ULANG TAHUN KE 54 BUAT IBU TERSAYANG
PUAN SARIPAH GAYAH BINTI ALANG JIDIN
PADA 19HB MEI 2009
SEMOGA DIRAHMATI ALLAH & BAHAGIA SELALU

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu

Menjadi seorang ibu adalah satu anugerah yang paling istimewa bagi setiap insan bergelar wanita. Ibu adalah sanjungan tertinggi selepas Allah dan Rasul.

Selain mengandung dan melahirkan, seorang ibu yang sejati adalah mereka yang berperanan dalam menjaga, mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anaknya sejak kecil sehinggalah dewasa.

Alangkah bermaknanya pengorbanan seorang ibu apabila setiap anak-anaknya berjaya menjadi seperti apa yang diharapkan. Namun, tidak semua ibu yang merasai kemanisan seperti itu. Ramai juga ibu yang kecewa dengan sikap anak-anak.

Sebagai insan bergelar ibu, buatlah yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga tetapi hiasilah diri dengan kecintaan kepada Allah & Rasul untuk mendapat kejayaan yang abadi.

Selamat Hari Ibu buat semua ibu di seluruh dunia!

Selamat Hari Ibu juga buat ibu dan ibu mertua saya!

Monday, May 4, 2009

Birthday lagi...

Hari ni birthday Abang pula...Selamat Hari Jadi yang ke 35. Dah tua dah...semoga apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan suatu hari nanti.


Setiap kali menjelang 4th May, saya mesti bingung macam mane nak celebrate. Nak belikan hadiah, takut dia tak berkenan sebab taste Abang tu tinggi...barang-barang dia semuanya RM ratus2...manalah saya ada duit nak membelinya maklumlah dah tak kerja (beli pun pakai duit Abang jugak).

Kali ni saya buat surprise! Hadiahnya kecil aje tapi saya rasa dia mesti suka sebab saya pernah dengar dia nak beli barang tu...??? Kek pulak, saya beli brownie Secret Resepi sebab dia memang suka makan brownie kat situ (sebenarnya malas nak buat).


Apapun terima kasih pada kawan Abang, si Hisham sebab sudi tolong belikan semua tu...kalau tidak, tak boleh nak surprise langsung ler.

HAPPY BIRTHDAY TO ABANG! LOVE U & HOPE YOU'LL BE A BETTER PERSON.

Sunday, May 3, 2009

Novel: Menongkah Senja ~ 3

"Man, cubalah kau tengok kaki Mak ni Man...merah tak? Tak tahan betullah aku...berdenyut-denyut...tak boleh nak tidur dibuatnya. Nanti kita pergi rumah Cikgu Salleh tu ye Man? Mak nak minta dia ubatkan kaki Mak ni...kita ikhtiarlah..." pujuk Mak Ros pada anaknya.

"Makan ajelah ubat doktor tu dulu...pergi sana pun bukan dia bole buat apa," Razman menjawab.

"Makan...Mak dah makan ubat doktor tu...tapi masih berdenyut jugak. Bawaklah Mak pergi rumah Cikgu Salleh tu Man...nanti dibaca-bacanya, mintak ubat ke biar kurang sikit bisa kaki aku ni. Tolonglah Mak, Man", rayu Mak Ros lagi.

"Yelah...yelah. Nanti malam pergilah" malas si Razman nak bercakap banyak.

"Nani....o...Nani. Isikan Mak air dalam botol. Nanti nak bawak ke rumah Cikgu Salleh tu. Nak mintak dibacakan jampi sikit...biar kurang bisa kaki Mak ni." perintah Mak Ros kepada menantunya yang sedang mengulik si kecil di dalam bilik.

Nani yang mendengar perintah mertuanya rasa meluat nak melakukannya dengan segera sebab masih panjang lagi masanya. Bukan ke nak pergi malam nanti? Lagipun ada banyak lagi air yang dah siap terisi dalam botol. Lebih baik dia terus bermain dengan di kecil Luqman dan menyusukannya.

"Ala sayang ibu....sibuk aje nenek awak tu...tak boleh nampak orang senang sikit yek? Ada aje nak suruh-suruh," Nani menyindir perlahan. Tapi kalau dengar ke telinga Mak Ros, mesti perang besar dibuatnya. Orang tua tu bukan boleh dirungut segala permintaannya. Semuanya mesti dibuat segera dan kalau boleh janganlah nak bertangguh-tangguh.

Nani dan Razman sudah masak benar dengan sikap Mak Ros yang manja dan mengada-ngada. Kalau dilayan sangat, boleh penat kita dibuatnya. Bukan anak menantu sahaja yang tidak tahan dengan karenahnya, jiran-jiran pun dah faham benar sikapnya yang gemar meminta-minta tolong itu dan ini walaupun benda-benda yang remeh.

Mak Ros selalu minta tolong Kak Narimah rumah hujung sana untuk belikan barang-barang dapur atau makanan kegemarannya, tosei atau rasam. Nyonya belakang rumah juga selalu disuruh membelikan barang-barang plastik macam gayung, baldi, kerusi plastik, periuk dan banyak lagi. Apek rumah tepi sekali pulak selalu dipesan belikan sabun, bayarkan bil air dan cukai jalan manakala suami Kak Sal rumah lorong belakang pula selalu kena tolong belikan ubat-ubatnya.

Nani tak faham dengan sikap mertuanya yang suka menyusahkan jiran-jiran walhal dia dan suaminya sering disuruh beli itu dan ini. Boleh dikatakan setiap hari mesti ada yang dipesannya. Mahu tak mahu, mereka terpaksa melayan kehendak Mak Ros tapi yang geramnya bila dia tak sabar menunggu untuk mendapatkan barang yang dipesannya. Kalau boleh, balik aje terus bagi barang yang dipesan itu padanya...kalau tidak, tak henti-hentilah dia bertanya. Masalahnya, benda-benda tu semuanya bukanlah penting sangat malah ada yang tidak digunakan langsung pun. Setakat beli sahaja dan lepas tu disimpan. Kadang-kadang tu, stok lama masih banyak lagi tapi tetap nak suruh beli cepat-cepat juga.

Pernah juga Nani menegur sikap mertuanya tetapi langsung tidak mahu diterima malah dengan kakinya yang sakit pun, dia tetap terus pergi ke rumah jiran untuk minta tolong itu dan ini. Pada Nani, dia dan Razman bukan tidak boleh menolong tetapi Mak Ros mestilah bersabar sedikit dan jangan terlalu nak cepat sangat apalagi kalau benda-benda yang tidak berapa penting. Memalukan betul apabila ada jiran pernah berkata kepada Mak Ros, "Kenapa tak suruh anak sendiri?" malah ada yang merungut dengan sifatnya yang terlalu berkira dan cerewet.

Saturday, May 2, 2009

Happy Birthday to Arif

Hari ni birthday Arif yang ke 2 tahun. Arif seorang anak yang comel walaupun badannya kurus disebabkan tak suka makan. Yang menampakkan dia comel adalah mata dan senyumannya.

Menjelang usia 2 tahun Arif masih belum petah bercakap. Setakat ini dia baru pandai menyebut NAK, DAH, NAH, JOM, BYE, NI & YAH. Arif suka tengok kartun Tom & Jerry dan dia adalah umpama si Jerry manakala Tom adalah alongnya, si Hakim.

Sempena ulang tahun yang ke 2 ini, ayahnya yang beria2 benar membelikannya hadiah mainan robot dan walkie talkie serta sebiji kek.



Ibu hanya mendoakan yang terbaik buat Arif. Nasihat ibu agar Arif jangan sombong dan jangan selalu gaduh-gaduh dengan along. Korang berdua mesti sayang menyayangi dan saling membantu sampai besar nanti.

Tuesday, April 28, 2009

Sakit oh Sakit...

Dalam seminggu dua ini, kami sekeluarga semuanya sakit-sakit. Dimulakan dengan ibu mertua saya yang dah memang berpenyakit kencing manis. Kini dia masih lagi di hospital menjalani rawatan akibat komplikasi penyakit diabetes yang dihidapinya. Pada hari Ahad lalu sebelah kakinya dipotong kerana jangkitan kuman yang serius.

Pada minggu lepas juga, Aqmar Nur Arif tiba-tiba diserang demam panas dan cirit birit hampir seminggu. Dia nyaris dimasukkan ke hospital kerana terdapat pendarahan pada najisnya. Alhamdulillah, sejak dua tiga hari ini dia sudah semakin pulih dan nampak ceria seperti biasa.

Sedang kami sibuk berulang alik ke hospital setiap hari menjenguk ibu mertua saya, Abang pula mendapat selesema dan sakit tekak hingga tidak selera makan sebab tekaknya terasa pahit. Ini juga mungkin disebabkan oleh keadaan cuaca yang amat panas di sini.

Bila Abang dah mula selesema, akhirnya Hakim dan saya juga berjangkit. Kini kami anak-beranak semuanya berhingus dan ting tong aje. Semalam, Hakim tidak ke sekolah sebab sakit kepala dan tekak yang teramat sangat.

Nota:
Semoga saya diberi ketabahan untuk melalui semua ini. InsyaAllah.

Thursday, April 23, 2009

Erti Sebuah Kesabaran

Sabar...
Berapa lama harus aku bersabar? atau
Sampai bila aku dapat bersabar?

Sabar...
Berbaloikah kesabaran ini? atau
Berbalaskah pengorbanan ini?

Sabar...
Sanggupkah aku meneruskannya? atau
Bagaimana jika aku berhenti di sini?

Sabarlah...
Dalam menjalani ibadahNya

Sabarlah...
Dalam menjauhi laranganNya

Sabarlah...
Dalam menempuh hidup di dunia ini

Sabarlah...
Dalam menanti sinar abadi di sana nanti