Saturday, January 24, 2009

Happy 5th Anniversary

Alhamdulillah...diam tak diam, dah 5 tahun saya berumahtangga...oppsssss sebenarnya rumah saya takde tangga pun! 24 Januari ni genaplah 5 tahun saya berkahwin dengan cik Abang saya yang comel tu....

Ikatan perkahwinan yang telah terbina selama lima tahun ini, telah mengurniakan saya dua cahaya mata comel, kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah serta keimanan yang semakin bertambah. Inilah antara nikmat perkahwinan yang amat saya syukuri dan berharap semoga segalanya akan menjadi lebih baik dan diberkati.

Tidak dinafikan, saya juga menghadapi beberapa cabaran dalam melayari bahtera rumahtangga, namun segalanya telah dapat saya lalui dengan tabah dan sabar. Kepadamu Abang... terima kasih yang tak terhingga kerana terlalu memahami diri ini dan banyak bersabar bila waktu-waktu 'ting-tong' datang.

Semoga jodoh ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat dan kehidupan kita beroleh rahmat dan nikmat dariNya yang berpanjangan di dunia dan akhirat.

Semoga perjalanan kehidupan saya seterusnya sebagai seorang isteri, ibu, anak dan menantu akan lebih bermakna dan diberkati. InsyaAllah.

Monday, January 19, 2009

Apa jenis manusia la...

Berikut adalah beberapa jenis orang yang saya kenal yang selalu buat saya terfikir tentang sikap mereka dan kenapalah ada orang yang macam ni? Dan kalau ada antara yang membaca entry ni pernah bertemu dengan yang lebih kurang diorang ni, saya harap bolelah bagi tips kat saya macam mane nak face orang-orang macam ni.

Orang 1:
Orangnya suka sangat mengeluh dan mengadu domba tentang masalah diri. Masalahnya, setiap kali jumpa mesti megadu cerita yang sama. Kita yang dengar ni pun menasihatkanlah sikit-sikit atau paling tidak pun suruh bersabar. Tapi orang ni pulak jenis yang tak nak terima nasihat, pastu kalau kita suruh sabar, dia boleh naik angin pulak.

Orang 2:
Orang ni pulak, jenis yang tak boleh dibawak bergurau langsung. Kalau bercakap, nak perkara serius aje. Kalau dimain-mainkan cakap dia, bole gaduh dibuatnya. Tapi kalau dia dengar lawak kita dengan orang lain, dia sibuk nak tumpang gelak.

Orang 3:
Orang ni (serumah) punyalah kedekut. Kalau beli benda makan siap sorok2 lagi. Tapi kalau kita punya makanan letak aje kat luar, silap haribulan tinggal habuk ajela. Kadang-kadang tu dia ambik sikit-sikit tiap hari sebab dia ingat kita takkan perasan agaknya.

Orang 4:
Orang ni kalau marah jenis senyap aje. Muka pulak siap mencuka memanjang dan buat kerja pun hentak sana hempas sini. Bila kita tanya, cakap takde ape-ape. Paling geram sekali kalau dia tak nak bercakap langsung dengan kita dan berterusan sampai beberapa hari.

Buat masa ni cukuplah 4 kategori orang-orang ni dulu. Sebenarnya banyak lagi perangai manusia yang pelik-pelik. Apapun, sebagai manusia yang punya fikiran dan ilmu, bersabarlah dan gunakanlah akal serta kebijaksaan untuk menghadapi orang-orang macam ni. Selebihnya, berserah sahajalah kepada yang Esa. Doakan saja agar Allah memberi rahmat dalam hidup mereka.

Sunday, January 18, 2009

Corat coret seminggu

Alhamdulillah, sepanjang minggu ni saya rasa seronok sangat walaupun kesihatan masih belum pulih sepenuhnya. Apa yang seronok sangat ek? Berikut adalah antaranya:

Pertama: Hakim mula bersekolah
Walaupun Hakim lambat seminggu masuk sekolah pertamanya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nurul Hayat, ternyata dia teruja sangat. Tiap-tiap pagi bangun sendiri...tak payah dikejutkan langsung. Pastu setiap hari ada saja pesanan cikgu yang nak dipraktikkan di rumah. Dia nampak suka sangat bila nak ke sekolah dan harap dia akan selalula macam tu.

Kedua: Aktiviti baru ~ mengait
Saya yang masih berpantang ni excited pulak nak mengait (aktiviti saya 8 tahun dulu). So, dengan baik hatinya, Abang pun bawakla saya pergi beli apa yang patut. Dan sekarang saya tengah rajin dok mengait chair back warna hijau striking. Tapi tak taula bila bole siap sebab skill dah agak kureng sikit. Lagipun badan masih lemah dan selalu nak tido aje.

Ketiga: Dapat blogging balik
Walaupun idea selalu jame untuk tulis entry baru, tapi saya suka sangat bila dapat lawat blog2 kegemaran saya yang dah lama tak dijenguk. Sejak duduk kat kampung, rasa macam banyak benda dah miss.

Keempat: Jadual tahun baru
Memandangkan tahun baru masih baru, azam dan tekad perlu dikuatkan. So, saya pun mulalah buat jadual untuk diri sendiri, Hakim dan si kecik Arif. Ala...sekadar guideline aje. At least, kitorang ada displin setiap hari. Untuk saya, waktu pagilah yang paling sibuk. Hakim plak, waktu makan, mandi, baca buku dan mengaji mesti diutamakan. Si Arif tu pulak mestilah ada masa makan, mandi, tido dan main yang teratur. Semua kena ikut timing, kalau tidak kelam kabut gak saya.

Monday, January 12, 2009

Dugaan Tahun Baru

Sambutan tahun baru kali ni benar-benar menguji saya apabila pada 30 Disember lalu saya dikejarkan ke hospital setelah secara tiba-tiba saya merasa sakit seperti orang yang nak bersalin. Rupanya saya mengandung di luar rahim (ektopik pregnancy).

Beberapa hari sebelum tu, saya ada rasa sengal-sengal di bahagian ari-ari dan peha. Saya pun ambil ponstan bila sengal-sengal dah tiga hari tak hilang.

Keesokannya pada 29 Dis, lepas ambil ponstan tu, saya takde rasa sakit-sakit langsung malah siap ke JB bershopping. Pada pagi esoknya barulah sengal-sengal datang semula tapi saya tidak hiraukan sangat. Hanya pada petangnya masa saya duduk bersila sambil lipat kain, barulah terasa sakit yang kuat di bahagian ari-ari. Pada waktu tu, Abang tengah cuci kereta di laman sambil melayan bebudak main air sebelum mandi petang.

Lama jugak saya merasakan sakit tu, tapi bila dah tak tahan sangat barulah saya bagitau kat Abang dan masuk ke bilik. Lepas tu saya telan ponstan sebiji kononnya biar kurang sikit sakitnya. Sakitnya plak memang sebijik macam orang nak bersalin. Abang pun musykil aje bila saya mengadu sakit. Tapi dia cepat uruskan bebudak dan suruh bersiap untuk ke hospital.

Tak sempat nak tunggu Maghrib, Abang bergegas bawak saya ke bahagian emergency di PSH. Doktor check urine, pastu bagitau yang saya pregnant. Saya agak terkejut sebab memang sejak bersalin si Arif, saya belum period2. Doktor tanya sama ada nak buat scan malam tu jugak atau esok pagi. Saya pun amik keputusan untuk balik dulu sebab rasa macam sakitnya dah kurang sikit.

Bila balik tu sakitnya tiba-tiba makin kuat. Rasa macam contraction orang nak besalin pun ada. Terfikir jugak nak ke hospital kerajaan aje sebab dah tau sangat kalau apa-apa yang berkaitan dengan pregnancy mesti insurans tak nak cover punye. Tapi Abang cakap pegi aje PSH semula, pasal kos jangan dirisaukan. Apapun saya yang lapar ni cuba nak pegi makan jugak tapi makin lama sakitnya makin kerap sampai terasa macam nak buang air. Abang yang perihatin pun pimpinlah saya ke toilet. Lepas aje tut...terus pitam.

Bila dah pitam tu, Abang dukung saya ke depan dan baringkan kat atas sofa pastu call ambulance PSH. Nasib baiklah pitam tak lama...lama sangat tunggu ambulance, Abang ajak saya pegi saja ke PSH.

Sampai PSH, saya terus diberi ubat pelali dan dibawa untuk scan. Masa scan tu, saya dengarlah Dr. cakap ada kandungan luar rahim yang hampir pecah. So, dia terus hantar saya ke bilik bedah (OT).

Dalam OT saya diberi bius separuh badan dan terus menjalani operation yang hanya ambil masa 30 minit. Lepas operation saya dimasukkan ke wad. Abang, Mak, Adik Saiful, Hakim & Arif masih menunggu di luar. Bila semuanya ok, barulah Abang balik bawak bebudak dan malam tu Mak temankan saya di wad.

Malam tu saya tak dapat tido sebab gatal-gatal di muka. Kata nurse, itu kesan ubat bius yang diberi. Dua malam jugaklah saya kat wad. Hari pertama tahun baru, saya balik umah Mak dan berehat di sana sampailah semalam baru balik umah. Itupun sebab Hakim dah terlewat seminggu untuk ke sekolah pertamanya.

Apapun, Alhamdulillah saya redha dengan dugaan di awal tahun baru ini malah segala azam dan rancangan untuk 2009 akan tetap saya teruskan. Hanya kepada Allah sahaja saya berserah dan InsyaAllah, segalanya akan berjalan lancar dan diberkati.

Sunday, December 28, 2008

Maal Hijrah 1430


Tahun 1430 Hijrah akan memberi lebih makna buat saya. Pada tahun lalu, kebanyakan azam saya menjadi kenyataan tetapi tidak dinafikan ada juga yang tak tercapai. Semoga pada tahun ini perjalanan hidup saya akan lebih baik dan bermanfaat. InsyaAllah.

Azam tahun baru tak boleh tulis kat sini sebab nanti orang kata riak pulak. So, saya tulis tangan kat dalam diari aje. At least ada hitam putih dan susah sikit nak tukar-tukar sebab saya ni mudah tukar fikiran.

Apapun, selamat menyambut Maal Hijrah 1430 kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia. Semoga tahun 1430 akan memberi lebih banyak ruang untuk kita memperbaiki diri demi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Wednesday, December 24, 2008

CERPEN: Cinta Sejati

"Sayang dengar sini baik-baik ye..." kata-kata Zafrul terhenti di situ lalu dia menarik nafas panjang. Diana yang dari tadi sabar mendengar di ganggang telefon mendengus tetapi tetap sabar menunggu ayat seterusnya.

Dengan perlahan Zafrul melafazkan, "Walau apapun yang akan terjadi antara kita, Abang tetap sayang Sayang sampai mati". Dia memberhentikan ayatnya setakat itu seraya menunggu maklum balas dari Diana.

Diana terdiam seketika, berkerut juga dia memikirkan maksud kata-kata Zafrul sebentar tadi. Apa yang akan terjadi? Dia akan mati ke? Atau dia akan pergi jauh? Atau kami akan berpisah ke? Apapun dia harus mencari ayat yang sesuai untuk diutarakan demi mengorek cerita disebalik kata-kata tersebut.

"Apa maksud Abang? Apa yang akan jadi, Bang? Saya tak fahamla maksud Abang", bertalu lembut ayat yang keluar dari mulut Diana.

Zafrul terdiam seketika kemudian bersuara "Abang rasa hubungan kita cukuplah sekadar berkawan sahaja".

"What?" Kali ini Diana tidak mampu bertenang. "Why?" perasaan ingin tahunya terus membuak. Kenapa baru sekarang Zafrul berkata demikian? Kenapa tidak lima tahun dahulu? Hatinya mula membenarkan keraguan yang dirasainya sejak tiga bulan kebelakangan ini. Cinta jarak jauhnya sudah terasa sedikit pudar.

Zafrul terdiam membisu sambil cuba membayangkan bagaimana reaksi wajah jelita Diana di saat itu. Nasib baiklah tidak bertentang mata. Kalau tidak, tak terucaplah kata-kata seterusnya. "Abang dah bertunang", katanya pendek sahaja.

"Hah! Dengan siapa? Bila?" dengan pantas Diana bertanya. Dibenaknya terkenang janji manis Zafrul untuk melamarnya setahun yang lalu. Lupakah Zafrul pada semua itu? Atau sengajakah Zafrul untuk mengkhianati cinta mereka?

"Takdir tidak menjodohkan kita. Abang tak dapat nak ceritakan semuanya sekarang. Tapi suatu hari nanti abang akan cerita jugak pada sayang" Zafrul meminta tangguh untuk menjelaskan segalanya.

"No. I want you to tell me now! Please..." rayu Diana kerana bimbang dia akan tersalah tafsir atas tindakan Zafrul yang dalam diam menjalin hubungan serius bersama insan lain.

"Maaflah. Abang takut sayang tak dapat terima apa yang abang nak bagi tau nanti", Zafrul mengharap Diana tidak terlalu mendesak.

Diana kebingungan seketika. Tanpa angin, tanpa ribut, mahligai impiannya musnah sekelip mata. Dia menahan sebak di dada sambil memikirkan apa yang harus dia lakukan seterusnya. Setelah menarik nafas panjang, Diana bersuara " Okaylah Bang, macam nilah...saya sanggup berhabis bil telefon malam ini asalkan Abang ceritakan pada saya macam mana semua ini boleh berlaku. Please......", sekali lagi dia merayu.

" Abang tak tau macam mana nak mula cerita ", Zafrul cuba mengelak dari bercerita lebih lanjut.
Dengan tenang Diana memancing, " Ok, kalau Abang tak tau nak cerita, jawab semua soalan saya dengan jujur, boleh? ". Diana mula bermain psikologi. Baginya terlalu penting untuk dia mengetahui penyebab semua ini berlaku walaupun takdir sudah menentukan percintaan mereka hanya setakat ini.

Zafrul terkesima seketika, tetapi cuba untuk mengelak dari terus berbicara, "Baiklah, tapi bukan ke lebih baik kita cerita bila kita jumpa nanti ". Zafrul sedar yang semua ini adalah salahnya, dia harus menghadapi Diana untuk memberi penjelasan.

Diana mula melenting, " Jumpa? Bila? ". Diana tidak yakin yang Zafrul akan mahu bertemu dengannya lagi. Malah dia sendiri akan sakit hati kalau memandang muka Zafrul nanti...silap-silap tangannya pula yang akan naik ke muka Zafrul.

" Minggu depan ke...", Zafrul memberi harapan.

"No! Ok, kalau Abang tak nak bagitau sekarang takpe, kita takkan berjumpa lagi. Cukupla sampai di sini sahaja hubungan kita. Bye." Diana menghempas ganggang telefon rumahnya yang baru seminggu ditukar. Sebenarnya Diana tidak mahu lagi mendengar Zafrul berdolak dalik kerana belum tentu akan ada kejujuran di sebalik kata-katanya nanti.

Keras juga rupanya hati Diana. Zafrul tidak menyangka Diana akan bertindak demikian. Seingatnya Diana seorang yang manja dan sering minta dipujuk apabila hatinya dilukai. Tapi kali ini Diana lain benar.

Setelah telefon dihempas, dan dengan air mata yang berlinangan, Diana berbicara sendiri, " Terima kasih Ya Allah, Kau telah membebaskan aku dari belenggu dosa yang selama ini memperbodohkan aku. Aku sedar aku tak perlukan yang lain selain dariMu. Ampunkanlah segala dosa-dosaku yang lalu. Aku ingin mencintaiMu. Berilah aku petunjukMu dan tunjukkanlah aku jalan menujuMu. Aku ingin kembali kepadaMu".

Moral:

Mencintai Allah adalah jauh lebih baik dari mencintai sesama insan.

Saturday, December 20, 2008

Happy 4th Birthday Aqmar NurHakim


Aqmar Nurhakim, anak saya yang sulong, bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-4 pada hari ini, 20 Disember (sama tarikh lahir dengan Dr. Mahathir Mohamad) dan InsyaAllah, 6 Januari 2009 akan mula bersekolah (sekolah tadika je...).

Hakim adalah seorang anak yang dahulunya berpewatakan lembut dan sensitif (mudah menangis). Untuk menjadikan dia lebih hero, kami suami isteri mendedahkan dia dengan cerita-cerita Ultraman, Mask Rider, Ryukendo, Power Rangers, Transformers dan beberapa lagi watak super hero. Bila dia dah mula terpengaruh dengan cerita-cerita tu, barulah sikapnya nampakla hero sikit…kalau tidak, dia asyik nak buat apa yang saya buat. Pernah satu masa tu… dia gila nak pakai tudung…tak dapat pakai tudung, dia menangis tak habis-habis. Kalau saya kat dapur plak, dia memang suka membantu.

Hakim ni suka merajuk, sikit-sikit nak menangis apalagi kalau dia tak dapat apa yang dia nak. Tapi Alhamdulillah sejak kitorang psiko dia dengan mengatakan budak dah nak sekolah tak bole gitu dan gini, barulah dia nampak lebih bijak.

Memandangkan aktiviti harian si Hakim ni ialah menonton TV & DVD, saya meletakkan syarat yang dia kena buat empat perkara sebelum dia dapat tengok rancangan TV atau DVD kegemaran dia. 4 perkara tu ialah mandi, makan, mengaji dan baca ABC atau 123.

Hakim merupakan anak yang cerdik sebab umur dia 1 tahun setengah, dia dah kenal ABC dan dia mudah mengingat sesuatu. Sekarang ni dah macam-macam perkataan dia tahu maklumlah tengok TV dan DVD setiap hari tak berenti. Tapi sejak akhir-akhir ini, dia jadi pemalas nak belajar... dalam bab ni, saya akan psiko dia sampai dia belajar jugak walaupun sedikit tapi saya tidaklah berkeras dengan anak-anak.

Sebagai ibu bapa, kitorang memang memanjakan si Hakim ni…yelah budak kecik lagi. Bila dia dapat adik, Aqmar Nur Arif, dia selalu jeles dengan adik dia. Apa yang adik dia buat, dia pun nak jugak tapi sebenarnya dia sayang sangat pada adiknya.

Kalau bab mainan ni tak bole nak cakap dah…sejak setahun ni, pegi mana-mana mesti kalau boleh nak beli mainan. Saya kalau belikan mainan pun yang murah-murah je…tak kuasa nak membazir tapi kalau Abang, dia sanggup belikan yang mahal-mahal…katanya, dulu dia tak dapat, jadi apa salahnya beli untuk anak walaupun sebenarnya dia yang mengidam! Hehehe..

Sekarang ni Hakim sudah semakin bijak, selalunya dia boleh terima alasan yang saya bagi kalau saya tak benarkan apa yang dia nak. Kadang-kadang tu ada jugak dia merengek tapi biasalah…kena pujuk-pujuk, barulah dia faham.

Makanan kegemaran Hakim ialah kek, sandwich telur letak sos dan mayonis, burger, pizza, sosej, sate dan nasi goreng manakala minuman kegemarannya ialah sirap, milo dan air kosong. Dia tak suka makan sayur, tapi sejak saya cakap kalau makan sayur boleh jadi kuat macam Popeye barulah dia mula suka makan sayur sikit tapi lebih kepada sayur hijau aje.

Sempena ulang tahun Hakim yang ke-4 ni, dia ada mintak saya belikan hadiah blocks. Walaupun dah ada 2-3 jenis block, tapi dia masih nak lagi sebab katanya nak cipta macam-macam bangunan. Maklumlah, kononnya nak jadi arkitek bila besar nanti. Tapi saya selalu cakap kat dia, nak jadi arkitek kena pandai melukis.

Saya tak kisah anak saya nak jadi apa tetapi biarlah yang memberi manfaat untuk dunia dan akhirat. Sebagai ibu, setiap hari saya berdoa kepada Allah agar anak-anak saya menjadi anak yang soleh, baik budi pekerti serta mendengar kata, berjaya di dunia & akhirat, sihat, bijak dan menjadi ahli agama.

Tips membesarkan anak-anak:
6 tahun dan sebelumnya ~ manjakan anak-anak anda dan ajarlah adab-adab
6 tahun berikutnya ~ didiklah mereka dengan pelbagai ilmu dunia & akhirat
6 tahun seterusnya ~ dampingilah & berkawanlah dengan anak anda