Thursday, February 26, 2009

Ilmu & TV

Kalau cakap pasal ilmu, mesti orang akan kaitkan dengan sekolah, IPT, buku atau perpustakaan. Kalau cakap pasal TV pulak, orang akan lebih ingat pada hiburan dan isu semasa. Bagi saya pulak sekarang ni, TV adalah sumber ilmu no. 1 selain buku, majalah dan internet.

Sejak jadi pengurus rumahtangga sepenuh masa, saya tak ada banyak peluang untuk keluar menuntut ilmu sebab rumahtangga, suami & anak-anak jadi keutamaan. Tetapi bila teringat betapa pentingnya tuntutan menimba ilmu, saya mula menjadikan TV sebagai sumber ilmu utama semasa di rumah.

Antara ilmu yang saya boleh dapat dari menonton TV adalah yang berkaitan dengan keagamaan, kekeluargaan, motivasi dan minat. Sebenarnya, bukan saja program-program ilmiah yang dapat memberi kita ilmu tetapi apapun yang kita lihat, dengar dan alami boleh dijadikan ilmu jika kita memikirkannya secara positif.

Sekarang ni setiap hari ada program ilmiah di kaca TV. Cuma saya kena pandai atur masa supaya tak ketinggalan. Kalau yang ada ulangan takpe la bole tengok ulangan tapi kalau yang live dan takde ulangan, rasa miss something pulak kalau terlepas siarannya.

Arwah ayah saya pernah cakap yang dia banyak belajar melalui filem. Katanya, filem membuat kita berfikir perkara yang kita jarang terfikir apalagi yang tidak pernah kita alami. Sebagai contoh, cerita kelakar Tan Sri P. Ramlee pun banyak mengandungi mesej yang baik kalau kita selami dialog dan jalan ceritanya.

Sebenarnya, semuanya terpulang kepada setiap individu untuk menilai sesuatu sebagai yang bermanfaat atau tidak. Yang penting, yang baik dijadikan iktibar dan yang buruk dijadikan sempadan. Pokoknya, ilmu ada di mana-mana, hanya kita kena pandai menilai dan beramal dengan ilmu yang baik.

Antara program TV kegemaran saya:

Astro Oasis ~
Ar-Rayyan, Ibu Mithali, Bersama Dato', Bicara Kifayah, Iktibar Dari Tanah Suci

TV9 ~
Muqaddimah, Usrah, Tanyalah Ustaz, Nasi Lemak Kopi O, Semanis Kurma

TV3 ~
Motivasi Pagi, Al-Hidayah, Al-Kulliyah, MHI, WHI, Laman Nurani

TV1 ~
Selamat Pagi Malaysia, Bicara Mufti, Forum Perdana Ehwal Islam

Sunday, February 22, 2009

Hakim & kerja sekolah

Lamanya tak menulis entry baru untuk blog ni. Bukan ape..buzy sikit sejak kebelakangan ni. Masa tight betul sejak Hakim start kelas KUMON. Mana tidaknye, hari-hari dia kena buat kerja menulis. Kesian gak tengok dia, tapi bagus jugak daripada dia asyik main aje.

Yang penatnya bila saya terpaksa dok mengadap dia buat worksheet yang intructor bagi. Kerja yang boleh siap 10 minit boleh jadi 1-2 jam kalau tak duduk kat sebelah dia. Apa tidaknya, baru buat kejap dah penatlah, laparlah, hauslah dan macam-macam lagi karenah.

Kadang-kadang tu tak sabar saya dibuatnya...tapi Alhamdulillah nampaknya saya dapat control perasaan dan guna cara yang lebih berhemah. Kalau tidak, mau angin jugak satu badan dibuatnya. Apalagi kalau ada orang lain masuk campur.

Bila tengokkan karenah si Hakim buat kerja sekolah, saya cuba fikir macam mana agaknya masa saya sebaya dia dulu yek? Saya pun tak berapa ingat...yang saya tahu, masuk darjah satu je, saya dah pandai baca. Itupun mak yang ajar...takde masuk tadika2 pun.

Sebagai panduan, saya pun tanyalah beberapa orang tentang macam mana nak didik anak supaya minat untuk belajar. Rata-rata semuanya memang hadapi masalah yang sama. Apa yang penting adalah kesabaran.

Alhamdulillah, setelah saya sediakan schedule untuk Hakim, segalanya semakin baik dan dia makin mudah dibentuk. Saya harap Hakim akan jadi contoh yang baik kepada adiknya nanti dan berjaya dalam hidup. InsyaAllah.

Wednesday, February 4, 2009

Derita oh derita

Pernahkah anda terfikir ada orang yang sepanjang hidupnya penuh dengan penderitaan tetapi dia masih mampu untuk meneruskan kehidupan?

Sejak kecil dia dibuang keluarga.
Dibela pula oleh wanita mandul yang dimadukan suami.
Ibu angkatnya seorang yang banyak cakap, jahil dan ego.
Hakikat dimadukan tidak dapat diterima dan sering merungut.
Suami pun melekat di rumah si muda sahaja.
Anak yang diangkat hanya untuk menjaga hari tuanya.

Waktu remaja, dirinya mula terpengaruh dengan keseronokan.
Kelulusan akademik setakat paras hidung sahaja.
Rokok dan ganja penawar masalah.
Walau begitu, ibu angkatnya tak pernah ditinggalkan.
Untuk keluar sambung belajar ibu tidak membenarkan.
Takut nanti ditinggal keseorangan.

Alam kerjaya banyak mengajar.
Dari penjaga pam minyak dia berdikari.
Orang berkereta dia pun mahu juga.
Tak perasan yang diri kurang mampu.
Sampai masa kereta ditarik.
Sampai sekarang masih muflis.

Nasib baik si ayah angkat masih peduli.
Dihantar bekerja dengan saudara.
Berbekal semangat dan sedikit pengalaman.
Dia mula ingin cuba berniaga.
Kepada si ayah modal diraih untuk perniagaan.
Alhamdulillah mata mula terbuka luas.

Bila hati terasa sunyi mulalah ingin berteman.
Sayangnya ada yang mengambil kesempatan.
Putus cinta memang menyakitkan.
Patah hati, patahlah semangat.
Perniagaan merosot, hati tak keruan.
Ditambah pula si ayah telah dijemput Ilahi.

Sampai masa, jodohnya pun tiba.
Sayangnya si ibu angkat rasa terpinggir.
Walhal masih tinggal sebumbung.
Bila sudah punya cahaya mata, hati rasa sedikit ria.
Rezeki pun mula bertambah.
Keperluan keluarga semakin dititikberatkan.

Keluarga yang semakin membesar amat membahagiakan.
Namun, lebih seronok jika punya kediaman sendiri.
Usaha harus dipertingkat demi keluarga yang tersayang.
Untuk kebahagiaan bersama dan masa depan.
Ibu angkat semakin uzur malah langsung tidak mahu memahami.
Semakin manja dan meletihkan untuk dilayan.

Apalagi yang harus dia lakukan?
Berbekal kesabaran, sokongan isteri diperlukan.
Melihat anak-anak yang dimanjakan.
Terasa diri puas walaupun dahulu tidak merasa.
Apapun, kehidupan harus diteruskan.
Agar Allah memakbulkan apa yang dicitakan.

Tuesday, February 3, 2009

Keluar...keluar...keluar...

Sejak akhir-akhir ini, saya, suami dan anak-anak selalu keluar rumah. Boleh dikatakan hampir setiap hari kitorang keluar. Ada aje yang nak dibuat kalau tidak pun nak 'ngeteh' (minum-minum) kat warung.

Anak-anak memanglah suka sesangat sebab jarang dapat keluar rumah tapi yang kesiannya kat mak mentua saya tu. Dia siap mengeluh sebab tiap-tiap hari kena tinggal tapi taklah lama sangat...cuma paling lama pun 3 jam. Bukan ape, nak bawak takut tak larat nak berjalan...lagipun dia bukan boleh naik-naik tangga. Makan pun tak bole sembarangan.

Saya ni pulak, kalau Abang dah ajak, takkanlah nak tolak. Lagipun kebanyakannya memang ada yang nak diuruskan dan sambil-sambil tu kitorang pegilah mengeteh.

Minggu lepas aje tengokla.......

Ahad ~ Pergi klinik bawak si Hakim yang demam tetiba aje
Isnin ~ Pegi jalan2 ikut Abang tengok barang komputer dan ngeteh
Selasa ~ Pegi makan McD
Khamis ~ Pergi survey kelas mengaji untuk Hakim
Jumaat ~ Balik umah Mak dan tido sana satu malam
Sabtu ~ Pergi pasar malam
Ahad ~ Pergi shopping barang dapur
Isnin ~ Pergi cabut gigi
(Cuma hari Rabu aje tak ke mana-mana)

Kadang-kadang tu terfikir juga takut kitorang ni asyik nak perabih duit Abang aje. Tapi memandangkan Abang yang atur semuanya dan tak pernah kisah pun dengan duit dia...so, saya pun enjoy ajelah!

Semoga rezeki yang Abang belanjakan untuk kitorang ni mendapat balasan yang berganda-ganda lagi. InsyaAllah asalkan semuanya ikhlas kerana Allah

Monday, February 2, 2009

CERPEN: Siapa Aku Di hatinya?

Di usiaku enam belas tahun, jejaka itu muncul dalam hidupku. Dia yang kukenali semasa satu perhimpunan Pengakap sekolah telah mencuri hatiku walaupun pada ketika itu kami hanya berkawan biasa.

Kami berkawan seperti remaja sekolah yang lain, hanya surat dan telefon menjadi penghubung kerana kami berlainan sekolah. Sekali-sekala kami bertemu di terminal bas sebaik pulang dari sekolah ataupun menghirup ABC di warung berdekatan terminal.

Sikap dan raut wajahnya tampak dewasa walaupun sebenarnya dia setahun lebih muda dariku. Entah kenapa bila bersamanya hati ini berbunga riang dan sentiasa ketawa ria. Dia suka bergurau dan selalu membuat aku gembira. Kami bukan sahaja mengenali diri masing-masing, malah juga seluruh ahli keluarga keduanya.

Di hujung minggu, sesekali kami keluar berjalan-jalan dan berbual mesra. Memandangkan kami masih lagi bersekolah, topik perbualan kami sering berkisar tentang sekolah dan kawan-kawan sebaya, tiada langsung soal hati dan perasaan yang diperbincangkan. Namun jauh di sudut hati, dia cukup istimewa.

Tamat persekolahan, aku melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di sebuah IPT tempatan manakala dia masih meneruskan persekolahannya. Setelah sekian lama menyepi, tiba-tiba sahaja dia menghubungiku & pernah membawaku pulang dari tempat belajarku. Sejak mengenalinya, kami memang jarang berhubung namun dia tetap dihati. Dia selalu hadir di waktu-waktu yang tidak diduga. Sesekali berhubung pasti akan membawa kepada pertemuan. Dan pertemuan kami pasti akan diakhiri dengan perpisahan yang panjang.

Ketika aku menyambung pelajaran peringkat ijazah, dia sekali lagi muncul dengan tiba-tiba di kampusku yang jauh dari bandar tempat kami tinggal. Kami bertemu dan melepas rindu walaupun ketika itu aku sudah punya teman istimewa. Namun itu tidak menghalang kami untuk berbual mesra kerana kami akan tetap bergurau senda tanpa ada soal hati dan perasaan. Anehnya, bila mata kami bertemu, dadaku berdebar.

Aku tidak dapat menafikan yang dia sering terlintas di fikiranku bila mengenang masa laluku. Itu membuatkan aku sering terfikir tentang siapakah aku di hatinya? Sebagai wanita, aku cuba menyembunyikan persoalan itu kerana aku malu untuk bertanya kepadanya.

Pernah aku cuba untuk berselindung tentang perasaanku padanya pada pertemuan kami semasa aku bekerja di Selangor. Dia yang tiba-tiba menghubungiku mengajak aku keluar berjalan-jalan tetapi aku telah membawa seorang kawan lelaki untuk menemaniku. Ternyata pada waktu itu dia tetap mesra melayani aku dan kawanku itu. Tiada langsung riak cemburu atau meluat pada kemesraan kami.

Seperti selalu, pertemuan kami akan terpisah bertahun lama sehinggalah pada suatu hari ibuku menyampaikan berita tentang niat ibunya untuk merisikku. Niat ibunya membuatkan aku keliru. Mengapa keluarganya mahu merisik aku? Mengapa selama ini dia tidak pernah bertanya soal hati dan perasaanku? Mengapa tiba-tiba sahaja dia ingin menyuntingku? Dia atau ibunya? Semuanya buat aku tertanya-tanya walaupun hatiku berasa sedikit ria.

Perlukah aku menemuinya untuk mendapatkan penjelasan sedangkan ketika itu aku baru saja berjanji untuk bertunang dengan jejaka yang diperkenalkan oleh ex-classmate yang berkunjung di tempat kerjaku. Aku juga sebenarnya terkilan kerana dia tidak pernah langsung meluahkan isi hatinya padaku selama ini. Adakah dia takut atau malu? Tapi kenapa? Pernah juga seseorang memberitahuku yang dia sebenarnya ada ramai teman wanita...so, aku malas nak mengaharap apa-apa dari perhubungan ini.


Sebelum pertunanganku, dia tiba-tiba menghubungiku. Tanpa selindung, aku memberitahu yang aku akan bertunang esok hari yang kebetulan adalah hari ulang tahun kelahirannya. Dia terdiam mendengarnya dan dengan suara yang tenang, dia juga mahu tahu siapakah gerangan insan yang berjaya menambat hatiku. Aku melayan baik pertanyaannya namun aku dapat merasakan ada sedikit kekesalan pada nada suaranya yang mungkin sudah terlambat dalam meluahkan sesuatu.

Maafkan aku, aku sudah berjanji...aku tidak mungkin memungkiri janjiku...Untuk si dia, ketahuilah bahawa aku sebenarnya serba salah...tersalah menilai erti sebuah perhubungan...namun, jika benar kau menganggap aku lebih dari kawan, ketahuilah bahawa kau tidak bertepuk sebelah tangan. Cuma mungkin takdir tidak memungkinkan kita untuk bersama.

Aku redha, walaupun aku tahu selama ini kami terpisah dengan jarak dan masa, tetapi kami sebenarnya saling mengingati satu sama lain. Teramat dekat kurasakan hubungan kami kerana walaupun sekian lama menyepi, sesekali terdengar suara di corong telefon, kami akan tetap saling mengenali dan mesra.

Hingga kini, dia tetap di hatiku walaupun sudah sekian lama kami tidak berhubungan. Malah jauh di sudut hati, aku mengharapkan ada satu keajaiban yang akan mempertemukan kami sekali lagi walaupun masing-masing sudah berkeluarga.

Moral:
~ Cinta hanya layak untuk dirasai dan tak semestinya untuk dimiliki. Begitu juga cinta pada yang Esa.



HAPPY 27TH BIRTHDAY TO MY YOUNGEST BROTHER
SAIFUL SAFRI BIN GIRIM
ON 2ND FEBRUARY 2009
WISH YOU A HAPPY LIFE & BE A BETTER PERSON