Monday, February 2, 2009

CERPEN: Siapa Aku Di hatinya?

Di usiaku enam belas tahun, jejaka itu muncul dalam hidupku. Dia yang kukenali semasa satu perhimpunan Pengakap sekolah telah mencuri hatiku walaupun pada ketika itu kami hanya berkawan biasa.

Kami berkawan seperti remaja sekolah yang lain, hanya surat dan telefon menjadi penghubung kerana kami berlainan sekolah. Sekali-sekala kami bertemu di terminal bas sebaik pulang dari sekolah ataupun menghirup ABC di warung berdekatan terminal.

Sikap dan raut wajahnya tampak dewasa walaupun sebenarnya dia setahun lebih muda dariku. Entah kenapa bila bersamanya hati ini berbunga riang dan sentiasa ketawa ria. Dia suka bergurau dan selalu membuat aku gembira. Kami bukan sahaja mengenali diri masing-masing, malah juga seluruh ahli keluarga keduanya.

Di hujung minggu, sesekali kami keluar berjalan-jalan dan berbual mesra. Memandangkan kami masih lagi bersekolah, topik perbualan kami sering berkisar tentang sekolah dan kawan-kawan sebaya, tiada langsung soal hati dan perasaan yang diperbincangkan. Namun jauh di sudut hati, dia cukup istimewa.

Tamat persekolahan, aku melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di sebuah IPT tempatan manakala dia masih meneruskan persekolahannya. Setelah sekian lama menyepi, tiba-tiba sahaja dia menghubungiku & pernah membawaku pulang dari tempat belajarku. Sejak mengenalinya, kami memang jarang berhubung namun dia tetap dihati. Dia selalu hadir di waktu-waktu yang tidak diduga. Sesekali berhubung pasti akan membawa kepada pertemuan. Dan pertemuan kami pasti akan diakhiri dengan perpisahan yang panjang.

Ketika aku menyambung pelajaran peringkat ijazah, dia sekali lagi muncul dengan tiba-tiba di kampusku yang jauh dari bandar tempat kami tinggal. Kami bertemu dan melepas rindu walaupun ketika itu aku sudah punya teman istimewa. Namun itu tidak menghalang kami untuk berbual mesra kerana kami akan tetap bergurau senda tanpa ada soal hati dan perasaan. Anehnya, bila mata kami bertemu, dadaku berdebar.

Aku tidak dapat menafikan yang dia sering terlintas di fikiranku bila mengenang masa laluku. Itu membuatkan aku sering terfikir tentang siapakah aku di hatinya? Sebagai wanita, aku cuba menyembunyikan persoalan itu kerana aku malu untuk bertanya kepadanya.

Pernah aku cuba untuk berselindung tentang perasaanku padanya pada pertemuan kami semasa aku bekerja di Selangor. Dia yang tiba-tiba menghubungiku mengajak aku keluar berjalan-jalan tetapi aku telah membawa seorang kawan lelaki untuk menemaniku. Ternyata pada waktu itu dia tetap mesra melayani aku dan kawanku itu. Tiada langsung riak cemburu atau meluat pada kemesraan kami.

Seperti selalu, pertemuan kami akan terpisah bertahun lama sehinggalah pada suatu hari ibuku menyampaikan berita tentang niat ibunya untuk merisikku. Niat ibunya membuatkan aku keliru. Mengapa keluarganya mahu merisik aku? Mengapa selama ini dia tidak pernah bertanya soal hati dan perasaanku? Mengapa tiba-tiba sahaja dia ingin menyuntingku? Dia atau ibunya? Semuanya buat aku tertanya-tanya walaupun hatiku berasa sedikit ria.

Perlukah aku menemuinya untuk mendapatkan penjelasan sedangkan ketika itu aku baru saja berjanji untuk bertunang dengan jejaka yang diperkenalkan oleh ex-classmate yang berkunjung di tempat kerjaku. Aku juga sebenarnya terkilan kerana dia tidak pernah langsung meluahkan isi hatinya padaku selama ini. Adakah dia takut atau malu? Tapi kenapa? Pernah juga seseorang memberitahuku yang dia sebenarnya ada ramai teman wanita...so, aku malas nak mengaharap apa-apa dari perhubungan ini.


Sebelum pertunanganku, dia tiba-tiba menghubungiku. Tanpa selindung, aku memberitahu yang aku akan bertunang esok hari yang kebetulan adalah hari ulang tahun kelahirannya. Dia terdiam mendengarnya dan dengan suara yang tenang, dia juga mahu tahu siapakah gerangan insan yang berjaya menambat hatiku. Aku melayan baik pertanyaannya namun aku dapat merasakan ada sedikit kekesalan pada nada suaranya yang mungkin sudah terlambat dalam meluahkan sesuatu.

Maafkan aku, aku sudah berjanji...aku tidak mungkin memungkiri janjiku...Untuk si dia, ketahuilah bahawa aku sebenarnya serba salah...tersalah menilai erti sebuah perhubungan...namun, jika benar kau menganggap aku lebih dari kawan, ketahuilah bahawa kau tidak bertepuk sebelah tangan. Cuma mungkin takdir tidak memungkinkan kita untuk bersama.

Aku redha, walaupun aku tahu selama ini kami terpisah dengan jarak dan masa, tetapi kami sebenarnya saling mengingati satu sama lain. Teramat dekat kurasakan hubungan kami kerana walaupun sekian lama menyepi, sesekali terdengar suara di corong telefon, kami akan tetap saling mengenali dan mesra.

Hingga kini, dia tetap di hatiku walaupun sudah sekian lama kami tidak berhubungan. Malah jauh di sudut hati, aku mengharapkan ada satu keajaiban yang akan mempertemukan kami sekali lagi walaupun masing-masing sudah berkeluarga.

Moral:
~ Cinta hanya layak untuk dirasai dan tak semestinya untuk dimiliki. Begitu juga cinta pada yang Esa.



No comments: