"Man, cubalah kau tengok kaki Mak ni Man...merah tak? Tak tahan betullah aku...berdenyut-denyut...tak boleh nak tidur dibuatnya. Nanti kita pergi rumah Cikgu Salleh tu ye Man? Mak nak minta dia ubatkan kaki Mak ni...kita ikhtiarlah..." pujuk Mak Ros pada anaknya.
"Makan ajelah ubat doktor tu dulu...pergi sana pun bukan dia bole buat apa," Razman menjawab.
"Makan...Mak dah makan ubat doktor tu...tapi masih berdenyut jugak. Bawaklah Mak pergi rumah Cikgu Salleh tu Man...nanti dibaca-bacanya, mintak ubat ke biar kurang sikit bisa kaki aku ni. Tolonglah Mak, Man", rayu Mak Ros lagi.
"Yelah...yelah. Nanti malam pergilah" malas si Razman nak bercakap banyak.
"Nani....o...Nani. Isikan Mak air dalam botol. Nanti nak bawak ke rumah Cikgu Salleh tu. Nak mintak dibacakan jampi sikit...biar kurang bisa kaki Mak ni." perintah Mak Ros kepada menantunya yang sedang mengulik si kecil di dalam bilik.
Nani yang mendengar perintah mertuanya rasa meluat nak melakukannya dengan segera sebab masih panjang lagi masanya. Bukan ke nak pergi malam nanti? Lagipun ada banyak lagi air yang dah siap terisi dalam botol. Lebih baik dia terus bermain dengan di kecil Luqman dan menyusukannya.
"Ala sayang ibu....sibuk aje nenek awak tu...tak boleh nampak orang senang sikit yek? Ada aje nak suruh-suruh," Nani menyindir perlahan. Tapi kalau dengar ke telinga Mak Ros, mesti perang besar dibuatnya. Orang tua tu bukan boleh dirungut segala permintaannya. Semuanya mesti dibuat segera dan kalau boleh janganlah nak bertangguh-tangguh.
Nani dan Razman sudah masak benar dengan sikap Mak Ros yang manja dan mengada-ngada. Kalau dilayan sangat, boleh penat kita dibuatnya. Bukan anak menantu sahaja yang tidak tahan dengan karenahnya, jiran-jiran pun dah faham benar sikapnya yang gemar meminta-minta tolong itu dan ini walaupun benda-benda yang remeh.
Mak Ros selalu minta tolong Kak Narimah rumah hujung sana untuk belikan barang-barang dapur atau makanan kegemarannya, tosei atau rasam. Nyonya belakang rumah juga selalu disuruh membelikan barang-barang plastik macam gayung, baldi, kerusi plastik, periuk dan banyak lagi. Apek rumah tepi sekali pulak selalu dipesan belikan sabun, bayarkan bil air dan cukai jalan manakala suami Kak Sal rumah lorong belakang pula selalu kena tolong belikan ubat-ubatnya.
Nani tak faham dengan sikap mertuanya yang suka menyusahkan jiran-jiran walhal dia dan suaminya sering disuruh beli itu dan ini. Boleh dikatakan setiap hari mesti ada yang dipesannya. Mahu tak mahu, mereka terpaksa melayan kehendak Mak Ros tapi yang geramnya bila dia tak sabar menunggu untuk mendapatkan barang yang dipesannya. Kalau boleh, balik aje terus bagi barang yang dipesan itu padanya...kalau tidak, tak henti-hentilah dia bertanya. Masalahnya, benda-benda tu semuanya bukanlah penting sangat malah ada yang tidak digunakan langsung pun. Setakat beli sahaja dan lepas tu disimpan. Kadang-kadang tu, stok lama masih banyak lagi tapi tetap nak suruh beli cepat-cepat juga.
Pernah juga Nani menegur sikap mertuanya tetapi langsung tidak mahu diterima malah dengan kakinya yang sakit pun, dia tetap terus pergi ke rumah jiran untuk minta tolong itu dan ini. Pada Nani, dia dan Razman bukan tidak boleh menolong tetapi Mak Ros mestilah bersabar sedikit dan jangan terlalu nak cepat sangat apalagi kalau benda-benda yang tidak berapa penting. Memalukan betul apabila ada jiran pernah berkata kepada Mak Ros, "Kenapa tak suruh anak sendiri?" malah ada yang merungut dengan sifatnya yang terlalu berkira dan cerewet.
apa sudah jadi madani!?
2 days ago
No comments:
Post a Comment