Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa

Sedih pulak rasanya bila tahun ini saya dah tak dapat ucapkan Selamat Hari Bapa pada ayah saya. Pemergian beliau pada 1 Syawal tahun lalu masih segar di ingatan. Rindu benar saya pada ayah...pada nasihat-nasihatnya, pada geletek dan gurauannya serta keperihatinannya.

Sebagai anak perempuan, ayah selalu berpesan agar saya taat pada suami dan bersabar menghadapi ujian berumahtangga. Saya sebenarnya banyak belajar tentang hidup melalui pengalaman ayah. Beliau seorang yang teratur, pembersih dan tegas namun sesekali dia boleh menjadi kawan kepada saya asalkan saya bijak mengambil hatinya.

Tidak dinafikan saya juga pernah berkecil hati dengan sikap ayah...namun manusia mana yang tidak melakukan kesilapan. Saya harus akur bahawa tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Sebagai anak, saya tidak perlu menyimpan dendam pada ibu dan ayah malah harus sentiasa memohon maaf kepada mereka serta menghormati mereka.

Berikut adalah antara perkara besar yang saya tidak boleh lupa pada ayah:
  1. Ayah hadiahkan saya jam tangan lepas dapat keputusan UPSR dan dukung saya atas bahu
  2. Ayah urutkan kaki saya bila saya lenguh2 masa demam pada usia 15 tahun
  3. Ayah temankan saya duduk sebab saya dah tak larat nak jalan kat zoo Taiping sedangkan adik beradik lain terus jalan2
  4. Ayah cakap "Takpe..ayah kan ade" masa dapat tahu saya putus cinta pertama
  5. Ayah yang carikan kerja di kampung untuk saya sebab nak pujuk saya balik duduk dengan dia
  6. Ayah melawat saya selepas sekian lama saya tak balik sejak ditipu pasal tawaran kerja (atas usaha ayah juga)

Apapun, segalanya tinggal kenangan. Banyak lagi perkara yg menarik dan sedih tentang ayah yang tak tercerita di sini.

Di sini, saya juga nak ambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di dunia ini khasnya buat suami saya, Ahmad, abang saya, Syahruljiza, abang ipar saya, Yusri serta adik ipar saya, Mohamad. Semoga kalian akan menjadi bapa yang mithali.

Wednesday, June 10, 2009

Kembali ke Asal

Pakar motivasi terkenal, Dato' Dr Fadzillah Kamsah ada mengatakan:

" Salah satu cara untuk sentiasa bermotivasi ialah setiap hari kita perlu berinteraksi dengan dua golongan iaitu kanak-kanak yg berusia di bawah 7 tahun dan warga emas yang berusia 70 tahun ke atas."

Memandangkan saya yang setiap hari berdepan dengan dua generasi ini, tidak dinafikan mereka adalah golongan yang boleh menjadikan saya seorang yang lebih bijak, penyabar, kuat semangat, redha, rajin, fleksible dan beberapa lagi sikap yang positif.

Bayangkanlah kalau tidak diatur segala kerja rumah sebaik mungkin, boleh kelam kabut dibuatnya. Yelah...budak kecik kalau dia nak apa-apa bukan kira masa. Kadang2 bangun awal, kadang2 bangunnya lambat. Pastu mintak itu ini, kejap2 nangislah, merengeklah, minta temankan mainlah dan macam2 lagi.

Warga emas pulak, kejap2 panggil mintak tolong itu ini, lagi kalau yang dah tak larat buat apa2...nak itu ini semua pakai mintak kat orang aje. Nanti kejap2 tanya itulah...inilah...pastu cakap sekali tak dengar...kena cakap ulang2. Kalau tak faham kena terangkan sampaila faham.

Pendek kata, dua generasi ni sama sahaja...selalu minta perhatian dan dimanjakan. Letih dibuatnya. Sebagai generasi yang tengah, saya kenalah faham dan sabar melayani karenah mereka. Kita tak boleh marah2, sebab kalau kita marah2, itu maknanya kita tak redha dengan ketentuan Allah ke atas diri kita.

Dua generasi ini juga selalu buat saya muhasabah diri betapa kita di dunia ini perlu banyak jadi manfaat kepada yang lain. Dalam erti kata lain, jangan pentingkan diri sendiri...lagipun ada hadis yang mengatakan;
Sebaik-baik manusia itu ialah yang banyak manfaatnya kepada orang lain.

Alamak dah lari tajuk sikit......

Sebenarnya saya nak bagitau yang saya dapat melihat sendiri proses manusia balik ke asal jika umur kita dipanjangkan... seperti firman Allah yg berikut:


" Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? " ~ Surah Yaasin, Ayat 68

Proses penuaan sebelum kematian benar-benar mengingatkan kita kepada proses pembesaran selepas kelahiran yang pada mula & akhirnya lemah, tak mampu bercakap, tak boleh bangun & berjalan malah segalanya harus dibantu. Bezanya cuma selepas roh dihembus, kita berada dalam rahim ibu tetapi selepas roh dicabut, kita berada dalam tanah iaitu asal kejadian nabi Adam a.s.

Nota: Selalulah ingat...Dari Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali.

Friday, June 5, 2009

Belenggu Kejahilan

Manusia sering lupa
Pada tujuan dia dijadikan
Pada matlamat sebenar kehidupan dunia

Manusia mudah alpa
Pada nikmat yang mencurah
Pada rahmat yang perlu dicari


Manusia sentiasa culas
Pada ilmu yang banyak manfaat
Pada pengalaman yang selalu mengajar

Manusia makin lalai
Pada kewajipan dan tanggungjawab
Pada ketentuan yang menguji

Masih ramai manusia sebenarnya
Dibelenggu kejahilan
Dibaluti kejumudan dan
Diselimuti budaya kurang berfikir

Wednesday, June 3, 2009

Novel: Menongkah Senja ~ 4

Nani berasal dari keluarga miskin tetapi dia berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan dalam bidang perniagaan. Dia merupakan anak tunggal perempuan dan si tengah daripada tiga beradik.

Kedua ibu bapanya tinggal tidak jauh dari rumah mertuanya, kalau berkereta hanya makan masa lebih kurang lima belas minit sahaja. Namun sejak mendirikan rumah tangga bersama Razman, jarang benar dia dapat pulang ke rumah apatah lagi untuk bermalam di sana. Semuanya kerana mertuanya yang tidak mahu lama berseorangan di rumah.

Setiap kali hendak pulang ke rumah ibunya, pasti mertuanya berpesan, "Jangan lama-lama ya Nani... Mak susah hatilah kalau Nani tak ada di rumah". Pesanan mertuanya itu selalu buat Nani serba salah untuk bermalam di rumah ibunya. Kalau adapun hanya semalam dua sahaja, itupun kalau ada hal, malah dia perlu menyiapkan kerja rumah terlebih dahulu dan menyediakan apa yang patut untuk Mak Ros dan suaminya, Razman yang biasanya tidak akan ikut tidur bersama di rumah ibunya.

Nasib baik kedua orang tua Nani amat memahami apa yang dihadapinya kerana kepada mereka berdualah Nani selalu mengadu tentang masalahnya dengan mertua. Ibu dan ayah Nani selalu menyuruhnya bersabar dan berusaha menjadi isteri dan menantu yang baik untuk mendapat balasan syurga.

Nani pasrah dengan ketentuan Ilahi malah dia redha dengan hanya menjadi suri rumah walaupun dia mampu untuk menjawat jawatan besar di mana-mana syarikat. Sebelum ini pun dia pernah bekerja sebagai seorang eksekutif yang bergaji empat angka. Nani rela melepaskan semua itu kerana ingin menjadi isteri solehah dan ibu mithali.

Mungkin ramai yang beranggapan Nani bodoh kerana melepaskan kerjaya dan menjadi kuli rumahtangga dan berdepan pula dengan mertuanya yang banyak karenah. Namun jauh di sudut hati, Nani hanya mahukan yang terbaik buat suami dan anak-anaknya. Tugas menjaga mertuanya hanya dianggap sebagai hadiah kepada suami tercinta walaupun dia terpaksa berdepan dengan banyak permainan perasaan.

Hidup sebumbung dengan mertua memang banyak dugaannya, namun Nani cuba bersikap positif dan sentiasa memperbaiki diri selain mengambil hati Mak Ros, mertuanya yang sudah semakin lanjut usia dan uzur. Banyak sikap Mak Ros yang sukar difahami, malah kadang-kadang tindakannya selalu tidak masuk di akal.

Bagi Nani, mertuanya umpama satu hadiah besar dari Ilahi yang membawa hidayah kepada dirinya kerana banyak sikap dan tidak tanduk Mak Ros yang membuat Nani berfikir panjang dan menginsafi erti kehidupan sebelum menjelang senja. Dia sentiasa bersyukur dan redha dengan ketentuan Ilahi kerana jodohnya dengan Razman telah membawa dia mengenali seorang insan yang penuh dengan kemelut dan kejahilan.

Pernah suatu ketika Nani terfikir, "Kenapalah aku dapat mak mertua macam ni?". Untuk memujuk hati, Nani berusaha menerima semua ketentuan Ilahi ini sebagai satu ujian dan cabaran untuk menjadi insan yang lebih baik. Kalau ikut kata jiran-jiran yang sudah mengenali mertuanya, ramai yang suruh dia bekerja atau menyibukkan diri dengan aktiviti sosial dan perniagaan. Namun ada juga yang minta dia bersabar kerana ada hikmah disebalik semua ini.

Setelah bertekad untuk menjadi suri sepenuh masa, Nani redha dengan apa yang ada dan sentiasa bersyukur kerana dapat berbakti kepada keluarga walaupun merasa sedikit terkilan kerana tidak dapat lagi memberi bantuan kewangan kepada ibu dan ayah sendiri.

Sekalipun sering disindir dan disuruh itu ini oleh mertuanya, Mak Ros, Nani tetap bersabar dan redha kerana ingin menjadi isteri yang taat kepada Razman demi sebuah syurga. Di dalam hati, dia hanya berserah kepada Allah sahaja kerana Dialah yang maha mengetahui lagi maha mendengar segala isi hatinya.

Tuesday, June 2, 2009

Susah senang...

Sejak sebulan yang lalu, saya bertanggungjawab menjaga mertua saya yang baru dipotong kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis. Hampir sebulan juga saya tak keluar rumah walaupun untuk ke kedai atau membeli belah.

Alhamdulillah, semuanya saya lalui dengan redha dan sabar walaupun pada awalnya saya sedikit kecewa apabila melihat mertua yang sudah hilang semangat untuk terus menghadapi ujian Allah yang hebat ini.

Pernah suatu ketika, saya seperti mahu mengalah daripada menjaganya kerana mertua langsung tidak mahu memberi kerjasama bagi menguatkan diri untuk duduk dan bergerak-gerak. Dia lebih selesa baring mengiring di sebelah kiri tanpa beralih-alih.

Melihat keletihan saya yang juga mengurus rumah tangga dan anak-anak, Abang menawarkan untuk mengambil seorang pembantu. Pada mulanya saya setuju tetapi bila fikirkan keadaan rumah dan keikhlasan hati manusia, buat sementara biarlah saya membiasakan diri dahulu. Jika saya benar-benar dah tak larat, barulah saya akan ambil pembantu.

Alhamdulillah, saya semakin expert dan mudah menguruskan segalanya. Sehingga hari ini, kesihatan mertua sudah bertambah baik, luka jahitan juga sudah agak elok. Dia sudah mula duduk dan makan sendiri. Saya hanya menyediakan makanan, memandikan dan menukar diapernya sahaja.

Saya sentiasa berdoa agar mertua saya akan sembuh semula seperti sediakala dan boleh berjalan kembali dengan menggunakan kaki palsu nanti. Namun segalanya saya serahkan pada Ilahi kerana Dialah yang menentukan segalanya. Saya hanya berdoa agar diberi kekuatan dan ketabahan dalam menempuh semua ini. Saya tahu di sebalik kesusahan ini ada kesenangan yang tidak saya ketahui.

Nota: Terima kasih kepada semua yang memahami keadaan saya ketika ini.

Monday, June 1, 2009

Kids & Dress

Here are some of my kids' latest pictures. Like their parents, my sons also simple. They just dressed up a T and track suit or a pair of cheap sales shirt. They are not choosy about dress but they like super heros' shirt like ultraman, batman, superman, spiderman or transformers.

As a parent, we never pamper them with any branded shirt but we will buy some good one for hari raya only.

I always say to my kids about the importance of dress are just to cover the aurat and to be comfortable with. Let people say whatever they like...to us, don't judge the book by its cover!

At one time, Hakim did say that he wanted to wear a color shirt tied-in with jeans, belt, cap, socks and shoes just like his cousin. But I said, you can wear it but will you comfort on it? It is because he is very active and frequently need go to the toilet to pee.

Whatever it is, cheap or expensive, branded or not are just nothing. Go for whatever make us happy!
Notes:
The best is, wear the dress with Bismillah!