Wednesday, June 3, 2009

Novel: Menongkah Senja ~ 4

Nani berasal dari keluarga miskin tetapi dia berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan dalam bidang perniagaan. Dia merupakan anak tunggal perempuan dan si tengah daripada tiga beradik.

Kedua ibu bapanya tinggal tidak jauh dari rumah mertuanya, kalau berkereta hanya makan masa lebih kurang lima belas minit sahaja. Namun sejak mendirikan rumah tangga bersama Razman, jarang benar dia dapat pulang ke rumah apatah lagi untuk bermalam di sana. Semuanya kerana mertuanya yang tidak mahu lama berseorangan di rumah.

Setiap kali hendak pulang ke rumah ibunya, pasti mertuanya berpesan, "Jangan lama-lama ya Nani... Mak susah hatilah kalau Nani tak ada di rumah". Pesanan mertuanya itu selalu buat Nani serba salah untuk bermalam di rumah ibunya. Kalau adapun hanya semalam dua sahaja, itupun kalau ada hal, malah dia perlu menyiapkan kerja rumah terlebih dahulu dan menyediakan apa yang patut untuk Mak Ros dan suaminya, Razman yang biasanya tidak akan ikut tidur bersama di rumah ibunya.

Nasib baik kedua orang tua Nani amat memahami apa yang dihadapinya kerana kepada mereka berdualah Nani selalu mengadu tentang masalahnya dengan mertua. Ibu dan ayah Nani selalu menyuruhnya bersabar dan berusaha menjadi isteri dan menantu yang baik untuk mendapat balasan syurga.

Nani pasrah dengan ketentuan Ilahi malah dia redha dengan hanya menjadi suri rumah walaupun dia mampu untuk menjawat jawatan besar di mana-mana syarikat. Sebelum ini pun dia pernah bekerja sebagai seorang eksekutif yang bergaji empat angka. Nani rela melepaskan semua itu kerana ingin menjadi isteri solehah dan ibu mithali.

Mungkin ramai yang beranggapan Nani bodoh kerana melepaskan kerjaya dan menjadi kuli rumahtangga dan berdepan pula dengan mertuanya yang banyak karenah. Namun jauh di sudut hati, Nani hanya mahukan yang terbaik buat suami dan anak-anaknya. Tugas menjaga mertuanya hanya dianggap sebagai hadiah kepada suami tercinta walaupun dia terpaksa berdepan dengan banyak permainan perasaan.

Hidup sebumbung dengan mertua memang banyak dugaannya, namun Nani cuba bersikap positif dan sentiasa memperbaiki diri selain mengambil hati Mak Ros, mertuanya yang sudah semakin lanjut usia dan uzur. Banyak sikap Mak Ros yang sukar difahami, malah kadang-kadang tindakannya selalu tidak masuk di akal.

Bagi Nani, mertuanya umpama satu hadiah besar dari Ilahi yang membawa hidayah kepada dirinya kerana banyak sikap dan tidak tanduk Mak Ros yang membuat Nani berfikir panjang dan menginsafi erti kehidupan sebelum menjelang senja. Dia sentiasa bersyukur dan redha dengan ketentuan Ilahi kerana jodohnya dengan Razman telah membawa dia mengenali seorang insan yang penuh dengan kemelut dan kejahilan.

Pernah suatu ketika Nani terfikir, "Kenapalah aku dapat mak mertua macam ni?". Untuk memujuk hati, Nani berusaha menerima semua ketentuan Ilahi ini sebagai satu ujian dan cabaran untuk menjadi insan yang lebih baik. Kalau ikut kata jiran-jiran yang sudah mengenali mertuanya, ramai yang suruh dia bekerja atau menyibukkan diri dengan aktiviti sosial dan perniagaan. Namun ada juga yang minta dia bersabar kerana ada hikmah disebalik semua ini.

Setelah bertekad untuk menjadi suri sepenuh masa, Nani redha dengan apa yang ada dan sentiasa bersyukur kerana dapat berbakti kepada keluarga walaupun merasa sedikit terkilan kerana tidak dapat lagi memberi bantuan kewangan kepada ibu dan ayah sendiri.

Sekalipun sering disindir dan disuruh itu ini oleh mertuanya, Mak Ros, Nani tetap bersabar dan redha kerana ingin menjadi isteri yang taat kepada Razman demi sebuah syurga. Di dalam hati, dia hanya berserah kepada Allah sahaja kerana Dialah yang maha mengetahui lagi maha mendengar segala isi hatinya.

No comments: