Thursday, March 12, 2009

Berubah?

Mari kita bercerita tentang "Berubah".......berubah dalam erti kata menjadi lebih baik dari sebelumnya...

Siapa yang perlu berubah?
Sesiapa sahaja boleh berubah asalkan ada kemahuan. Tapi biasanya mestilah orang yang berakal dan yang dah dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Kalau ada yang nak berubah ke arah yang tidak baik, itu maknanya dia dah tak sayang diri ataupun memang dia tu dah gila.

Apa yang perlu diubah?

Ubah biasanya mestilah merujuk kepada apa-apa sahaja yang boleh diubah. Misalnya, sikap, suasana, tempat atau rupa bentuk sesuatu. Biasanya, untuk membuat perubahan, kita kena ambil kira faktor kepentingannya. Apakah sesuatu itu sangat penting hingga kita perlu mengubahnya?

Kenapa nak berubah?
Sebenarnya perubahan mestilah untuk ke arah kebaikan. Takde maknanya kalau nak berubah ke arah yang lebih buruk. Misalnya, yang malas kepada rajin, hodoh kepada cantik, jauh kepada dekat dan sebagainya. Senang cerita, berubah mestilah untuk sesuatu yang lebih baik sama ada untuk dirasai, dipandang atau dinilai.

Bila nak berubah?
Ini adalah persoalan yang selalu menjadi teka-teki sebab ada orang bila dah terhantuk barulah terngadah. Tak kurang juga yang menunggu sampai seru dan ada juga yang meletakkan masa-masa tertentu untuk berubah. Tetapi sebaik-baiknya biarlah perubahan itu dibuat apabila kita sedar yang ianya perlu diubah. Janganlah bertangguh-tangguh sebab mungkin keadaan akan menjadi lebih buruk jika kita masih tidak berubah.

Bagaimana nak berubah?
Bagaimana nak berubah biasanya bergantung kepada cara, pendekatan, kaedah atau apa yang perlu dibuat yang mengambil kira waktu sebelum, semasa dan selepas berubah. Persediaan sebelum membuat perubahan seperti memasang niat dan membuat perancangan adalah amat penting untuk memastikan perubahan yang akan dibuat lebih teratur dan tidak memberi impak yang negatif kepada diri, orang sekeliling dan mereka yang terbabit. Perubahan hendaklah berasaskan ilmu dan pengalaman agar perubahan yang dibuat memberi kesan yang positif. Kalau boleh pilihlah idola atau pemangkin yang boleh memberi pandangan atau tunjuk ajar ke arah perubahan yang lebih baik. Dapatkan tips-tips dari buku-buku atau majalah-majalah ilmiah yang boleh membantu anda mengubah kebiasaan yang tidak berfaedah kepada sesuatu yang lebih bermanfaat.

Berapa lama nak berubah?
Jawapan untuk persoalan ini sepatutnya hanya satu iaitu selagi ianya membawa manfaat. Malah jika sesuatu perubahan itu perlu diubah lagi, maka ianya perlulah kepada yang lebih baik dan lebih baik. Sekiranya sesuatu perubahan itu sudah menjadi yang terbaik, maka ianya haruslah dikekalkan hingga ke akhir hayat.

Wallahua'lam.

Nota:
Berubahlah demi kebaikan. InsyaAllah, Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang membuat kebaikan.

1 comment:

Neeza Shahril said...

kalau nak berubah, kita perlu segera.. sebab kalau tunggu, takut tak sempat..
tapi mesti berubah ke arah yang baik la kan..
sesama kita berubah demi kebaikan ya nurie..