Sunday, November 2, 2008

30 Hari Pemergian Ayahanda - Part II

Bercampur gaul dengan masyarakat adalah kegemarannya. Dia gemar bercerita terutama sekali yang berkait dengan soal keagamaan hingga orang mengangkatnya menjadi Imam surau dan masjid di kampung. Sifat kepimpinannya mudah terserlah hinggalah dia dilantik menjadi ketua Biro Keagamaan UMNO Kampung Minyak Beku dan seterusnya menjadi Ketua UMNO Cawangan Minyak Beku.

Menyedari dirinya tidak berpelajaran dan orang merantau, dia sanggup melepaskan apa jua jawatan yang diberi memandangkan ada lagi yang lebih layak. Oleh kerana memang gemar bermasyarakat, dia kembali aktif dalam Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) yang disertainya sejak awal berumahtangga. Itupun setelah dicari oleh teman sebai'ahnya semasa di Perak dahulu yang datang semasa perkahwinan puteri pertamanya.

Setelah 4 anak-anaknya mendirikan rumahtangga, kehidupannya lebih tertumpu pada kegiatan dakwah bersama PEKIDA. Kerana usia penglibatan dan pengetahuannya yang tinggi dalam ilmu tauhidnya, dia dilantik menjadi Ayahanda oleh ahli-ahli PEKIDA. Dia disanjung dan dimuliakan oleh ramai anak-anak bai'ahnya sehingga dia tak diam di rumah. Dia sering dijemput ke sana ke mari untuk memberi penerangan agama dan dakwah hingga ke seluruh Malaysia. Di rumah, dia hanya bersama isteri dan putera bongsunya yang sering menjadi kerisauannya dek kerana terlalu dimanjakan sehingga kurang menjadi.

Inilah masa senangnya...ketika anak-anak sudah mampu berdikari, dia dan isteri hanya ke hulu ke hilir bermasyarakat. Berniaga ikan pun hanya di hujung minggu sahaja itupun kalau tidak ke mana2...hanya sekadar untuk membayar bil-bil bulanan pun jadilah. Sesekali dia dan isteri akan menjenguk anak perempuannya, N yang tinggal di bandar Batu Pahat selain melepas rindu pada cucu-cucunya kerana anak-anak yang lain berjauhan. Walaupun jauh, dialah yang selalu pergi ke rumah anak -anaknya kerana dia faham situasi anak-anak sekarang yang sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan. Katanya, zaman sudah berubah, kalau kita nak anak-anak ingat pada ibu bapa, ibu bapa perlu ingat pada anak-anaknya. Sementara masa senang inilah, tidak salah katanya kalau orang tua yang datang menjenguk anak-anak.

Apabila hari-hari cuti, terdetik juga di hatinya, adakah anak-anaknya sudah tidak sayang kepadanya atau sudah lupa padanya kerana tidak pulang2 menjenguk. Sebagai pengubatnya, dia dan si isteri sering ke sana ke mari ke rumah kawan atau anak2 bai'ahnya untuk bertanya khabar dan bermesra. Kalau anak cucunya yang dekat pulang, air mukanya bersahaja...tiada riak gembira malah dibuat tak tahu sahaja. Sekejap aje dia bermain dengan cucu-cucunya... selepas itu dia menghilangkan diri keluar atau tidur. Tiada lagi sembang-sembang dan gurau senda seperti dulu-dulu. Dia lebih sibuk dengan urusan PEKIDAnya.

Rahmat Allah kepadanya memang besar apabila dia mendapat tajaan untuk mengerjakan umrah ke tanah suci. Sebelum keberangkatannya ke tanah suci, di sana sini anak-anak bai'ahnya membuat kenduri doa selamat untuknya. Anak-anak sendiri pun berkongsi membuat kenduri kejutan untuknya seminggu sebelum pemergiannya ke tanah suci. Rezekinya melimpah dek pemberian orang dan kesyukuran terbayang walaupun keuzuran mengujinya. Berbekalkan kekuatan semangat dan keizinan Allah, dia selamat berangkat ke tanah suci pada 7 Mei 2008 dengan dihantar oleh isteri, anak-anak dan menantunya yang berdekatan.

Sekembalinya dari menunaikan ibadah umrah, dibelinya banyak pakaian untuk isteri, anak-anak dan cucu-cucunya. Tidak lupa juga untuk anak-anak bai'ahnya dan rakan taulannya. Kepulangannya disambut ramai orang malah wajahnya kelihatan puas dan gembira walaupun masih keletihan. 2 minggu kemudian, kesemua anak cucunya pulang semasa cuti penggal persekolahan semata2 untuk menemuinya yang sudah selamat kembali dari tanah suci.

Satu malam dia bermimpi seorang tua menyuruhnya memakan seekor ikan bawal yang besar. Dia pun memakannya hingga habis tapi yang menghairankannya ialah orang tua itu asyik menyuruhnya makan sambil tertawa besar. Dia kemudian menceritakan mimpinya itu kepada si isteri seraya berkata yang dia seperti akan mendapat suatu penyakit yang berat. Selang beberapa hari kemudian, dia ditimpa sakit di dalam perut semasa dia ingin ke Terengganu untuk satu mensyuarat PEKIDAnya. Si isteri sentiasa disampingnya dan sejak itu penyakitnya sentiasa berulang-ulang.

Pertengahan Jun 2008, dia dibawa menjalani imbasan ultrasound di Hospital Putra dan mendapati ada ketumbuhan pada hatinya. Dia seterusnya dimasukkan ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan lanjut tetapi doktor tidak dapat mengenalpasti penyakitnya yang sebenar dan akan merujuk ke Hospital Selayang yang dikatakan pakar mengenai masalah hati. 4 malam berada di hospital membuatkan dia serik dan kalau boleh tak mahu dimasukkan ke wad lagi.

Anak-anak bai'ahnya berusaha membawanya ke merata tempat untuk mencuba perubatan tradisional tetapi penyakitnya tetap berterusan. Berubat cara kampung pula mendapati ada orang meletak sesuatu dalam badannya tetapi telah dapat dikeluarkan. Malangnya penyakitnya terus datang... sekejap kuat sekejap kurang. Dia hanya bertahan dengan memakan ubat penahan sakit. Apabila kurang dia meneruskan penerangan dan dakwahnya seperti biasa. Apabila sakit, dia berbaring di tilam sambil menekan-nekan perutnya. Dalam keuzurannya itupun, dia kuatkan semangat untuk membawa N pergi berubat kampung di Pagoh kerana bimbang penyakit anaknya akan bertambah serius.

Anak-anak bai'ahnya pula membeli bermacam ubat-ubatan untuknya sehingga ada yang mencecah ribuan ringgit. Namun penyakitnya semakin teruk, badannya menjadi kekuningan dan gatal-gatal manakala perutnya mula membusung dan sukar membuang air besar. Terkadang nampak rasa sengsara yang tak tertanggung olehnya. Sesekali terdetik di hatinya di manakah anak-anaknya sendiri di kala begini? Namun dia akur dan redha memandangkan puteri-puterinya sudah menjadi milik orang. Cuma yang dikesalkan di manakah putera-puteranya? Apakah mereka terlalu sibuk atau lupa pada si tua ini? Jangankan yang berjauhan, yang duduk serumah pun sentiasa tak nampak muka. Nasib baik ada si isteri yang setia di sisi membantu mengurut dan memenuhi permintaannya itu dan ini.

Menjelang Ramadhan, dia gagahi juga untuk berpuasa dan disembunyikan sakitnya untuk ke sana ke mari dan membeli juadah berbuka yang diingininya di bazar Ramadhan. Petengahan Ramadhan dia berhajat untuk ke utara menghadiri satu perjumpaan dengan ahli PEKIDAnya di sana sambil menjenguk cucu barunya yang ke 11. Selain isteri, diajaknya N dan anak-anak serta besan mengikutnya ke utara untuk mengelaknya dari terus berhari raya di sana. Dengan menaiki kereta suami N, mereka bertolak jam 10 pagi, 15 Ramadhan 1429. Dia dengan penuh semangat memandu tanpa henti kecuali untuk solat hinggalah sampai ke rumah anaknya, H sebelum waktu berbuka.

Di sana, dia mengambil kesempatan bertemu saudara2 dan rakan2nya yang lain. Tetapi apabila sakit, dia berbaring dan mengambil ubat penahan sakit seperti selalu. Apabila sakitnya kurang, dia gagahi keluar mencari juadah berbuka di bazar Ramadhan. Setelah seminggu di sana, dia berangkat pulang dalam keadaan sakitnya semakin kerap. Dia terpaksa berhenti beberapa kali di Manong tempat adik iparnya, di Meru, Klang tempat kawannya dan di Seremban tempat anak angkatnya. Dikuatkan semangatnya juga untuk menyinggah ke tempat berubat anaknya di Pagoh.

Sesampai di rumah N dia menerima khabar yang putera bongsunya, S mendapat kemalangan hingga luka di tangan dan baru keluar dari hospital menjalani pembedahan. Dia dan isteri resah seketika mengenang masa depan anaknya yang satu itu. Entah apalah yang berlaku dan kenapa langsung tak diberitahu kepadanya. Mungkin juga untuk tidak merisaukannya atau takut dibebelkannya.

Seminggu menjelang raya, sakitnya tambah kerap...makan tak lalu...berjalan pun dah tak larat. Si isteri menelefon anak-anak menceritakan penderitaan si suami tercinta sambil bersulam deraian air mata. Dalam keadaannya begitupun, dia sempat menganyam daun palas untuk ketupat pulut kegemarannya di hari raya. 3 hari sebelum Aidilfitri, anaknya N datang bermalam di rumahnya bersama satu cucunya bagi membantu membuat persiapan hari raya. Malamnya, dia tidak dapat tidur dek kegatalan kulitnya kesan ubat-ubatan yang diambil. N juga tidak tidur untuk menolongnya menggaru dan memicit badannya kerana dengan memicitnya sahaja dapat membuatkan dia terlena. Tetapi jika berhenti sekejap pun dia dah terjaga. Dia mengadu kepada anaknya itu yang dia tak boleh lagi harapkan isterinya kerana isterinya sering tertidur bila memicit badannya. Katanya lagi kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Atas nasihat suami N, keesokan harinya, N bersama S membawanya ke klinik. Doktor menasihatkannya agar dihantar ke hospital, tetapi dia enggan kerana mungkin ingin berhari raya di rumah. N menurut permintaannya dan berharap dia akan ke hospital selepas raya nanti. N berpesan kepada si adik, S supaya menjaganya dan membantu apa yang patut kerana dia sudah tidak mampu bangun sendiri. Setelah memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor klinik, sakit perutnya bertambah-tambah malah dia bersungut kenapa tak diberikannya racun sahaja. Si isteri sudah tak keruan melihat penderitaan si suami. Walaupun begitu dikuatkan juga ke bilik air dengan dibantu oleh anak bongsunya kerana dia selalu berasa ingin membuang air besar.

Malam raya dia kuatkan semangat untuk menghantar ketupat palas ke rumah kawannya. Katanya nak bersedekah. Kala takbir bergema di pagi raya, dia sudah tak mampu bangun sendiri lagi dan inilah kali pertama isterinya memandikannya. Solat sunat Aidilfitri dan ziarah ke kubur emaknya juga tidak mampu dilakukan di pagi mulia. Dia hanya mampu terlantar di tilam dan sesekali minta dipicit dan dipapah ke bilik air. Pagi itu ramai sekali jiran tetangga datang beraya sambil menjenguknya. Begitu juga rakan taulan. Dia yang terlantar masih boleh melayan paggilan telefon, dan bergurau senda dengan tetamu yang datang.

Jam 10 pagi, N datang. Dia tidak menyangka ayahnya hanya mampu berbaring di pagi raya kerana si emak tidak memberitahu apa-apa kepadanya. Melihat keadaan ayah yang sebegitu, N meminta izin suami untuk berada di sisinya bagi melayani permintaan ayah yang kelihatan amat uzur sekali. Ketika sudah tiada tetamu, N memicit badannya yang dari tadi yang tidak berbaju sambil meriba si anak kecil. Tiba-tiba si kecil terlentuk menyembah Tok Wannya dan terus terlena. N hairan kerana tidak pernah anaknya tidur sesenang itu kerana biasanya dia akan menyusu badan sampai terlena. Diangkatnya A ke dalam bilik kemudian kembali menyambung picitan ayahnya. N mengajaknya ke hospital tetapi dia menangguh untuk pergi keesokan hari. Melihat ayahnya sudak tidak larat untuk bangun, disuruhnya si adik membeli lampin pakai buang dan beberapa keperluan lain untuk kemudahan ayahnya.

Jam 3 petang, salah seorang anak bai'ahnya datang tetapi dia sudah tidak mampu lagi untuk duduk melayani tetamu malah membuka mata juga dia keberatan. Dia mengadu sakit belakang dan tetamu semakin ramai yang datang. N yang resah terus memicit-micit dan mengajarkannya menyebut kalimah syahadah sambil mengesat peluh dingin yang tak henti-henti menyimbahi seluruh tubuh ayahnya itu. Sekejap-sekejap air mata N mengalir kerana tidak tahan melihat kesengsaraan ayahnya di hari mulia. N mengajaknya lagi ke hospital..kali ini dia tidak menolak. Setelah dipersetujui, salah seorang anak bai'ahnya membantu memanggil ambulan manakala si isteri sibuk mengemas pakaian dan barang-barang keperluan untuk dibawa bersama.

Setelah dipakaikan baju, dia mengadu ingin membuang air besar. Lalu digagahi untuk duduk dan berjalan ke bilik air sambil dipapah beberapa anak bai'ahnya. Keluar dari bilik air, kakinya sudah longlai dah matanya sudah kabur. Dia didukung ke ruang depan dan terus dibaringkan di atas katil hospital kerana kereta ambulan telah pun sedia menunggu di luar rumah. Isterinya, N dan cucunya turut bersama ke dalam kereta ambulan. Pembantu ambulan menyuruh N duduk di tempat duduk hadapan manakala si isteri di sebelahnya yang sudah terbaring lesu.

Dihadapan, N tidak putus-putus berdoa dan bertakbir perlahan agar Allah tidak menyeksa ayahnya. Tidak sampai 10 minit perjalanan, kedengaran pembantu ambulan mengatakan "Pak cik dah tak ada...sudah meninggal". Si isteri mula berhamburan air mata sambil memberitahu anaknya N bahawa si suami telah pergi buat selamanya dan dimintanya memberitahu pada semua adik beradik dan saudara mara yang lain. Sebelum itu, si isteri terlebih dahulu sudah melihat saat terakhirnya menyahut panggilan sakaratul maut. Salah seorang anak bai'ahnya yang ada bersama turut menangisi pemergian ayahanda mereka dan membantu menenangkan keadaan. Pembantu ambulan meminta jenazah beliau dibawa juga ke hospital untuk pengesahan.

Pemergiannya pada 1 Syawal 1429 bersamaan 1 Oktober 2008 di hari Rabu pada jam 5.45 petang ditangisi ramai orang. Di hospital, di rumahnya dan di mana jua orang mengetahui pemergiannya menangis penuh kesedihan. Setelah urusan di hospital selesai, jenazahnya dibawa pulang selepas maghrib dan dibaringkan menghadap kiblat di ruang hadapan rumah bagi memberi ruang kepada sesiapa memberi penghormatan terakhir kepadanya. Si isteri memohon untuk menangguhkan pengkebumian ke pagi esok untuk memberi peluang anak cucunya menatap wajahnya buat kali terakhir. Terlalu ramai rakan taulannya yang hadir kerana hingga ke subuh ada sahaja yang datang bertahlil secara berkumpulan.

Pada jam 10 pagi keesokannya barulah dia disemadikan bersebelahan kubur emaknya. Pemergiannya diratapi ratusan yang hadir kerana dia adalah antara sanjungan anak-anak bai'ahnya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Terima kasih yang tak terhingga kepada rakan taulan, anak-anak bai'ahnya serta saudara mara yang hadir dan mendoakan kesejahteraannya. Hanya Allah sahaja yang akan membalasi kalian. Amin.

No comments: