Saturday, November 1, 2008

30 Hari Pemergian Ayahanda - Part I

Dilahirkan pada 9 April 1951 dan menetap di Matang Acheh, Perak. Seorang anak tunggal kepada Mah binti Rejab dan Ahmad (tak tahu nama sebenarnya). Ayahnya meninggal ketika beliau masih di dalam perut ibunya. Di usianya 4 tahun, dia ditinggalkan ibu kandungnya yang telah berkahwin lain dan berpindah ke Johor. Kemudian dia dipelihara dan dibesarkan oleh neneknya Aishah, yang dipanggil "mak" dan datuk tirinya, Hamzah yang dipanggil "ayah". Namanya juga turut dibinkan kepada datuk tiri yang memeliharanya (yelah orang dulu2...main pakai bubuh aje...) Turut hidup serumah dengannya ialah Ummi, cucu kepada datuk tirinya.

Belajar hanya setakat darjah enam (6). Namun dia seorang yang cerdik terutamanya dalam bab2 berkaitan agama. Oleh kerana penjaganya tidak mampu untuk menyekolahkannya ke peringkat yang lebih tinggi, beliau bertindak menimba ilmu dari pembacaannya sendiri dan berguru ke sana sini. Masa kanak-kanaknya tak seperti kanak2 lain kerana terpaksa mencari nafkah untuk menyara keluarga dalam usianya yang sangat muda. Menangkap ikan di sungai dan mengambil upah membantu orang adalah punca rezekinya. Pergaulannya juga yang lebih bersama orang yang lebih dewasa daripadanya menyebabkan beliau tampak lebih matang dari usianya.

Menjelang usianya belasan tahun, datuk tirinya ingin menjodohkannya dengan Ummi yang tinggal serumah dengannya sebagai membalas jasa menyara keluarga. Namun dia menolak kerana dia telah menganggap Ummi sudah seperti adik kandungnya sendiri. Dengan hati yang berbelah bahagi, beliau meminta izin pergi merantau membawa diri untuk mencari ilmu dan saudara mara selain mengintai jodoh buat dirinya.

Setelah puas merantau dan berusaha mengenal erti hidup, ayah angkatnya bertemu dengan seorang gadis yang sedang mengait rambutan lalu berhasrat untuk menjodohkan dia dengan gadis tersebut. Dia mengikut sahaja dan menerima sahaja gadis itu sebagai bakal surinya walaupun pintu hatinya pernah diketuk oleh gadis lain yang sanggup mengajaknya kawin lari kerana tentangan keluarga.

Untuk membina ikatan yang lebih kukuh, rombongan melamar pun dihantar untuk menyunting bunga di taman. Alhamdulillah... setelah lamaran diterima, mulalah dia membuat persiapan untuk hari bahagia. Pada 14 Oktober 1970, di usia 19 tahun, dia telah diijab dengan si gadis sunti 15 tahun untuk bersama menempuh kehidupan sebagai suami dan isteri.

Lebih 3 tahun bahtera dilayar barulah dikurniakan cahaya mata sulong, seorang putera, SJ. Rezeki semakin bertambah dan seterusnya dikurniakan 3 lagi puteri sebagai penyeri. Semakin hari kehidupan semakin mendesak, berbekal tulang empat kerat tanpa pelajaran yang tinggi, dia menolong orang membuat itu dan ini untuk menyara isteri dan anak-anak.

Setelah adiknya Ummi berumahtangga dan datuk tirinya kembali ke rahmatullah, dia membuat keputusan untuk membawa anak isteri dan emaknya berhijrah untuk bertemu ibu kandungnya yang telah 28 tahun terpisah. Di Batu Pahat, Johor dia bertemu dengan ibu kandungnya bersama empat adik yang seibu dengannya. Bapa tirinya sudah tiada lalu bapa saudara sebelah ibunya mengajaknya tinggal bersama.

Bermulalah kehidupannya di tempat yang baru. Kemahirannya mencari rezeki dilaut menjadi punca nafkah dia sekeluarga. Setelah mengambil keputusan untuk menetap di Kampung Teluk, Minyak Beku, Batu Pahat, Johor, dia mula mendirikan pondok kecil untuk keluarganya berteduh berhampiran dengan kawasan bapa saudaranya. Manakala ibunya telah berpindah ke Kota Tinggi setelah mendapat tanah Felcra di Kampung Sungai Layau, Kota Tinggi.

Di pondok kecil inilah dia menambah seorang lagi putera setelah sebelumnya Allah mengambil seorang puteranya yang berusia 10 hari. Maka menginaplah dia bersama isteri, 2 putera dan 3 puteri serta emaknya yang dikasihi di pondok bahagianya.

Kehidupannya sebagai nelayan memang memeritkan...tetapi cintanya pada lautan amat mendalam kerana disitulah dia bermunajat dan bermuhasabah diri kepada yang Esa. Di rumah, si isteri menanti penuh setia dan anak-anak menunggu untuk dimanja. Kehidupannya sering diuji...hanya kesabaran dan tawakal sahaja bertahta. Pemergian neneknya yang dipanggil emak benar-benar mengujinya. Namun kehidupan harus diteruskan.

Kerana simpati bersulam kasih dan sayang, si isteri menyuarakan hasrat untuk membantu sang suami bagi meringankan beban yang tak tertanggung. Tawaran si isteri untuk menjaja ikan yang ditangkap ke pasar membuatnya rasa serba salah. Seolah-olah dirinya tak mampu untuk menyara keluarga. Kerana kesempitan dan kebahagiaan anak-anak, hatinya merelakan walaupun ada sedikit kekesalan dek ketidakmampuan diri.

Allah maha pengasih...bantuan isteri memang berbaloi. Kalau tak ke pasar, kuih muih dijual. Kehidupan mula berubah...anak-anak dididik untuk sama-sama membantu memperbaiki kehidupan. Menjual kuih, mencatuk teritip, mencari siput dan kijing serta mengambil upah mencuci pakaian dilakukan anak-anak untuk menambah rezeki. Alhamdulillah...sedikit sebanyak ianya mengajar erti keperitan hidup dan usaha untuk mencapai kejayaan.

Berbekalkan semangat untuk merubah hidup, dia dan isteri membuang rasa malu untuk memohon bantuan jabatan kebajikan masyarakat bagi memperbesarkan mahligainya. Bantuan diterima dan kehidupan menjadi semakin baik. Daripada nelayan, dia menjadi buruh binaan dan seterusnya sebagai pemandu teksi. Dialah yang banyak mendidik akhlak anak-anaknya. Dari adab makan, pakai dan urusan rumahtangga sampailah cara bergaul, dialah yang mendidiknya. si isteri hanya menokok mana yang kurang.

Anak-anaknya disekolahkan walaupun kadang-kadang tidak cukup belanja. Cita-citanya untuk melihat setidak-tidaknya anak-anaknya menjadi guru menjadi kekuatannya bersama isteri. Dia dan isteri sanggup meminjam dan bergolok gadai demi cita-citanya itu. Dalam mendidik anak-anak, dia sering bertegas. Yang salah dimarah dan kadang kala dirotan. Yang baik dipuji dan kadang kala diberi hadiah. Anak-anaknya diajarkannya mengaji, beserta adab-adab dan beberapa pengetahuan agama.

Untuk memastikan hasratnya tercapai, dia bersama isteri tidak malu ke hulu ke hilir memohon pertolongan sesiapa bagi memastikan anak-anaknya diberi tempat ke peringkat yang lebih tinggi. Hasratnya semakin nyata apabila 2 anaknya melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan dan 2 lagi anaknya ke menara gading. Walaupun begitu, dia suami isteri terpaksa melipatgandakan usaha bagi membiayai segala kos pembelajaran anak-anaknya. Sesekali berkumpul apabila anak-anaknya pulang bercuti, gurau senda dan tawa ria menyeri kehidupannya sekeluarga. Itulah kebahagiaannya....

Syukurlah kepada Allah kerana ke empat2 anaknya memahami keadaannya sekeluarga. Walaupun kesempitan, Allah masih memberi rezeki kepadanya malah anak-anaknya turut menggunakan wang pinjaman dan elaun pelajaran mereka untuk memperbaiki keadaan mahligai bahagia mereka. Setelah tamat pelajaran dan tidak lama bekerja, anak-anaknya dibiarkan memilih pasangan masing-masing untuk berumahtangga. Syaratnya, semua tanggung sendiri. Bukan apa...kalau harapkannya, dia tidak mampu. Setakat jadi wali boleh ler. Tetapi Alhamdulillah...4 orang anaknya selamat mendirikan rumahtangga dan majlisnya pun boleh tahan besar juga.
Bersambung Part II....

No comments: