Sunday, December 28, 2008

Maal Hijrah 1430


Tahun 1430 Hijrah akan memberi lebih makna buat saya. Pada tahun lalu, kebanyakan azam saya menjadi kenyataan tetapi tidak dinafikan ada juga yang tak tercapai. Semoga pada tahun ini perjalanan hidup saya akan lebih baik dan bermanfaat. InsyaAllah.

Azam tahun baru tak boleh tulis kat sini sebab nanti orang kata riak pulak. So, saya tulis tangan kat dalam diari aje. At least ada hitam putih dan susah sikit nak tukar-tukar sebab saya ni mudah tukar fikiran.

Apapun, selamat menyambut Maal Hijrah 1430 kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia. Semoga tahun 1430 akan memberi lebih banyak ruang untuk kita memperbaiki diri demi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Wednesday, December 24, 2008

CERPEN: Cinta Sejati

"Sayang dengar sini baik-baik ye..." kata-kata Zafrul terhenti di situ lalu dia menarik nafas panjang. Diana yang dari tadi sabar mendengar di ganggang telefon mendengus tetapi tetap sabar menunggu ayat seterusnya.

Dengan perlahan Zafrul melafazkan, "Walau apapun yang akan terjadi antara kita, Abang tetap sayang Sayang sampai mati". Dia memberhentikan ayatnya setakat itu seraya menunggu maklum balas dari Diana.

Diana terdiam seketika, berkerut juga dia memikirkan maksud kata-kata Zafrul sebentar tadi. Apa yang akan terjadi? Dia akan mati ke? Atau dia akan pergi jauh? Atau kami akan berpisah ke? Apapun dia harus mencari ayat yang sesuai untuk diutarakan demi mengorek cerita disebalik kata-kata tersebut.

"Apa maksud Abang? Apa yang akan jadi, Bang? Saya tak fahamla maksud Abang", bertalu lembut ayat yang keluar dari mulut Diana.

Zafrul terdiam seketika kemudian bersuara "Abang rasa hubungan kita cukuplah sekadar berkawan sahaja".

"What?" Kali ini Diana tidak mampu bertenang. "Why?" perasaan ingin tahunya terus membuak. Kenapa baru sekarang Zafrul berkata demikian? Kenapa tidak lima tahun dahulu? Hatinya mula membenarkan keraguan yang dirasainya sejak tiga bulan kebelakangan ini. Cinta jarak jauhnya sudah terasa sedikit pudar.

Zafrul terdiam membisu sambil cuba membayangkan bagaimana reaksi wajah jelita Diana di saat itu. Nasib baiklah tidak bertentang mata. Kalau tidak, tak terucaplah kata-kata seterusnya. "Abang dah bertunang", katanya pendek sahaja.

"Hah! Dengan siapa? Bila?" dengan pantas Diana bertanya. Dibenaknya terkenang janji manis Zafrul untuk melamarnya setahun yang lalu. Lupakah Zafrul pada semua itu? Atau sengajakah Zafrul untuk mengkhianati cinta mereka?

"Takdir tidak menjodohkan kita. Abang tak dapat nak ceritakan semuanya sekarang. Tapi suatu hari nanti abang akan cerita jugak pada sayang" Zafrul meminta tangguh untuk menjelaskan segalanya.

"No. I want you to tell me now! Please..." rayu Diana kerana bimbang dia akan tersalah tafsir atas tindakan Zafrul yang dalam diam menjalin hubungan serius bersama insan lain.

"Maaflah. Abang takut sayang tak dapat terima apa yang abang nak bagi tau nanti", Zafrul mengharap Diana tidak terlalu mendesak.

Diana kebingungan seketika. Tanpa angin, tanpa ribut, mahligai impiannya musnah sekelip mata. Dia menahan sebak di dada sambil memikirkan apa yang harus dia lakukan seterusnya. Setelah menarik nafas panjang, Diana bersuara " Okaylah Bang, macam nilah...saya sanggup berhabis bil telefon malam ini asalkan Abang ceritakan pada saya macam mana semua ini boleh berlaku. Please......", sekali lagi dia merayu.

" Abang tak tau macam mana nak mula cerita ", Zafrul cuba mengelak dari bercerita lebih lanjut.
Dengan tenang Diana memancing, " Ok, kalau Abang tak tau nak cerita, jawab semua soalan saya dengan jujur, boleh? ". Diana mula bermain psikologi. Baginya terlalu penting untuk dia mengetahui penyebab semua ini berlaku walaupun takdir sudah menentukan percintaan mereka hanya setakat ini.

Zafrul terkesima seketika, tetapi cuba untuk mengelak dari terus berbicara, "Baiklah, tapi bukan ke lebih baik kita cerita bila kita jumpa nanti ". Zafrul sedar yang semua ini adalah salahnya, dia harus menghadapi Diana untuk memberi penjelasan.

Diana mula melenting, " Jumpa? Bila? ". Diana tidak yakin yang Zafrul akan mahu bertemu dengannya lagi. Malah dia sendiri akan sakit hati kalau memandang muka Zafrul nanti...silap-silap tangannya pula yang akan naik ke muka Zafrul.

" Minggu depan ke...", Zafrul memberi harapan.

"No! Ok, kalau Abang tak nak bagitau sekarang takpe, kita takkan berjumpa lagi. Cukupla sampai di sini sahaja hubungan kita. Bye." Diana menghempas ganggang telefon rumahnya yang baru seminggu ditukar. Sebenarnya Diana tidak mahu lagi mendengar Zafrul berdolak dalik kerana belum tentu akan ada kejujuran di sebalik kata-katanya nanti.

Keras juga rupanya hati Diana. Zafrul tidak menyangka Diana akan bertindak demikian. Seingatnya Diana seorang yang manja dan sering minta dipujuk apabila hatinya dilukai. Tapi kali ini Diana lain benar.

Setelah telefon dihempas, dan dengan air mata yang berlinangan, Diana berbicara sendiri, " Terima kasih Ya Allah, Kau telah membebaskan aku dari belenggu dosa yang selama ini memperbodohkan aku. Aku sedar aku tak perlukan yang lain selain dariMu. Ampunkanlah segala dosa-dosaku yang lalu. Aku ingin mencintaiMu. Berilah aku petunjukMu dan tunjukkanlah aku jalan menujuMu. Aku ingin kembali kepadaMu".

Moral:

Mencintai Allah adalah jauh lebih baik dari mencintai sesama insan.

Saturday, December 20, 2008

Happy 4th Birthday Aqmar NurHakim


Aqmar Nurhakim, anak saya yang sulong, bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-4 pada hari ini, 20 Disember (sama tarikh lahir dengan Dr. Mahathir Mohamad) dan InsyaAllah, 6 Januari 2009 akan mula bersekolah (sekolah tadika je...).

Hakim adalah seorang anak yang dahulunya berpewatakan lembut dan sensitif (mudah menangis). Untuk menjadikan dia lebih hero, kami suami isteri mendedahkan dia dengan cerita-cerita Ultraman, Mask Rider, Ryukendo, Power Rangers, Transformers dan beberapa lagi watak super hero. Bila dia dah mula terpengaruh dengan cerita-cerita tu, barulah sikapnya nampakla hero sikit…kalau tidak, dia asyik nak buat apa yang saya buat. Pernah satu masa tu… dia gila nak pakai tudung…tak dapat pakai tudung, dia menangis tak habis-habis. Kalau saya kat dapur plak, dia memang suka membantu.

Hakim ni suka merajuk, sikit-sikit nak menangis apalagi kalau dia tak dapat apa yang dia nak. Tapi Alhamdulillah sejak kitorang psiko dia dengan mengatakan budak dah nak sekolah tak bole gitu dan gini, barulah dia nampak lebih bijak.

Memandangkan aktiviti harian si Hakim ni ialah menonton TV & DVD, saya meletakkan syarat yang dia kena buat empat perkara sebelum dia dapat tengok rancangan TV atau DVD kegemaran dia. 4 perkara tu ialah mandi, makan, mengaji dan baca ABC atau 123.

Hakim merupakan anak yang cerdik sebab umur dia 1 tahun setengah, dia dah kenal ABC dan dia mudah mengingat sesuatu. Sekarang ni dah macam-macam perkataan dia tahu maklumlah tengok TV dan DVD setiap hari tak berenti. Tapi sejak akhir-akhir ini, dia jadi pemalas nak belajar... dalam bab ni, saya akan psiko dia sampai dia belajar jugak walaupun sedikit tapi saya tidaklah berkeras dengan anak-anak.

Sebagai ibu bapa, kitorang memang memanjakan si Hakim ni…yelah budak kecik lagi. Bila dia dapat adik, Aqmar Nur Arif, dia selalu jeles dengan adik dia. Apa yang adik dia buat, dia pun nak jugak tapi sebenarnya dia sayang sangat pada adiknya.

Kalau bab mainan ni tak bole nak cakap dah…sejak setahun ni, pegi mana-mana mesti kalau boleh nak beli mainan. Saya kalau belikan mainan pun yang murah-murah je…tak kuasa nak membazir tapi kalau Abang, dia sanggup belikan yang mahal-mahal…katanya, dulu dia tak dapat, jadi apa salahnya beli untuk anak walaupun sebenarnya dia yang mengidam! Hehehe..

Sekarang ni Hakim sudah semakin bijak, selalunya dia boleh terima alasan yang saya bagi kalau saya tak benarkan apa yang dia nak. Kadang-kadang tu ada jugak dia merengek tapi biasalah…kena pujuk-pujuk, barulah dia faham.

Makanan kegemaran Hakim ialah kek, sandwich telur letak sos dan mayonis, burger, pizza, sosej, sate dan nasi goreng manakala minuman kegemarannya ialah sirap, milo dan air kosong. Dia tak suka makan sayur, tapi sejak saya cakap kalau makan sayur boleh jadi kuat macam Popeye barulah dia mula suka makan sayur sikit tapi lebih kepada sayur hijau aje.

Sempena ulang tahun Hakim yang ke-4 ni, dia ada mintak saya belikan hadiah blocks. Walaupun dah ada 2-3 jenis block, tapi dia masih nak lagi sebab katanya nak cipta macam-macam bangunan. Maklumlah, kononnya nak jadi arkitek bila besar nanti. Tapi saya selalu cakap kat dia, nak jadi arkitek kena pandai melukis.

Saya tak kisah anak saya nak jadi apa tetapi biarlah yang memberi manfaat untuk dunia dan akhirat. Sebagai ibu, setiap hari saya berdoa kepada Allah agar anak-anak saya menjadi anak yang soleh, baik budi pekerti serta mendengar kata, berjaya di dunia & akhirat, sihat, bijak dan menjadi ahli agama.

Tips membesarkan anak-anak:
6 tahun dan sebelumnya ~ manjakan anak-anak anda dan ajarlah adab-adab
6 tahun berikutnya ~ didiklah mereka dengan pelbagai ilmu dunia & akhirat
6 tahun seterusnya ~ dampingilah & berkawanlah dengan anak anda

Monday, December 15, 2008

Kisah cuti & adik beradik.

Sekarang ni musim hujan... so saya jaranglah keluar rumah. Duduk ajelah kat rumah sambil melayan bebudak. Nak blogging pun, line internet tak berapa elok...nak memasak plak takde mood langsung nak cuba-cuba resepi. Buat keje rumah pun, ala kadar aje...

Baru-baru ni adik saya yang duk di Sungai Petani, Kedah ada balik ke rumah mak saya..yelah, musim cuti sekolah. Dia agak lama jugak kat kampung...lebih kurang 2 minggu jugak ler. Adik saya tu suami isteri cikgu sekolah. Bukan dia aje...abang dan kakak saya pun cikgu...kawin pun dengan cikgu jugak. Cuma saya dengan adik saya yang bongsu aje tak jadi cikgu.

Sempena cuti sekolah ni, abang saya yang sulong plak balik ke Kelantan, tempat mertua dia sekali menyambut Aidil Adha di sana. Katanya nak khatankan jugak anak-anak lelakinya si Syafiq dan Syahmi. Habislah bebudak tu...mesti kena berpantang.

Kakak saya yang tinggal di Seberang Perai, Pulau Pinang tak balik kampung. Dia sekeluarga katanya pergi bercuti ke Cameron Highlands beberapa hari. Tapi sebelum tu diorang sibuk jaga peperiksaan.

Minggu lepas, lepas majlis menghantar tanda untuk adik bongsu, kitorang sempat ke Tanjung Leman. Minggu ni plak, saya dan adik bercadang nak mandi manda di Sagil, dekat kaki Gunung Ledang, Tangkak. Tapi tak tau lagi jadi ke tidak. Kalau jadi nanti saya cerita kat sini ye.

Sebut pasal Gunung Ledang, teringat saya pada tahun 90 an, kitorang 5 beradik dan seorang kawan adik pernah pergi mendakinya. Abang sulong yang jadi ketua kitorang selama 2 hari 1 malam mendaki.

Tak sangka pada waktu tu, kitorang sanggup mendaki tanpa henti sampai ke puncak dan hanya nak turun tu yang kitorang bermalam di pertengahan gunung. Memang mencabar tapi seronok sebab waktu tulah kitorang nampak caring sangat.

Abang saya memang terror bab-bab berkhemah. Kakak pulak masa mendaki mengeluh tak habis-habis tapi bila turun, dialah yang seronok sekali. Saya dan adik-adik plak enjoy aje...

Segalanya tinggal kenangan...sekarang nak berkumpul adik-beradik pun susah. Cuti sekolah ke...raya ke...jarang dapat berkumpul kesemuanya. Saya ada jugak cadangkan untuk buat family gathering setahun sekali tapi susah nak dapat 100% support. Tapi saya takkan berputus asa, nanti saya nak siapkan proposal Family Gathering tu dan bagi kat diorang...pastu tu kalau tak berjaya jugak, tak tau ler.

Nota: InsyaAllah, kalau niat kita baik, pasti Allah akan membantu kan?

Thursday, December 11, 2008

CERPEN : Hening Malam

Malam semakin dingin, musim tengkujuh begini memang seronok berselimut tetapi sejak terjaga dari jam tiga pagi tadi hinggalah sekarang, mata yang kupejamkan tidak sejiwa dengan benakku yang masih berserabut.

Pelbagai perkara terlintas difikiranku terutama sekali soal hidup dan mati, keluarga dan masa depan. Puas sudah aku berselawat dan berzikir, namun mata ini masih belum mahu lelap malah benakku semakin berat memikirkan persoalan yang entah apa-apa.

Ahh...apalah yang perlu aku khuatirkan, bukankah aku telah berusaha melakukan yang terbaik untuk diriku dan orang-orang yang aku sayang. Biarlah Allah sahaja yang menghitungnya dan seharusnya aku bertawakal sahaja kepadaNya.

Soal hidup dan mati, aku tidak boleh nak jangka walaupun penyakit yang kuhadapi ini bakal mengundang maut. Yang penting aku harus mengisi perjalanan hidupku ini dengan sebaiknya. Berteraskan prinsip berpantang maut sebelum ajal, akan kugagahi hidup ini untuk menjadi manfaat kepada yang lain.

Dalam masa sesingkat ini dan kudrat yang semakin lesu, akan kutaati dan kubahagiakan dirimu kerana aku tahu itulah sahaja jalan untukku mengejar syurga. Akan kucurahkan sepenuh kasih dan sayangku untukmu sebagai tanda cintaku yang sejati.

Kupeluk tubuh sasa disisiku sambil membisikkan aku sayang padamu dan seandainya malam ini malam terakhir kita bersama, ampunilah segala dosaku namun jauh dilubuk hatiku mengharap agar esok aku akan dapat terus menatap wajahmu.

Mata yang tidak mahu lelap ini kubuka luas untuk melihat jarum jam Citizen di dinding yang kelihatan samar-samar. Rupanya hanya tinggal tiga puluh enam minit lagi masuklah waktu Subuh. Daripada aku tertidur, akupun bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Sementara menunggu azan Subuh, aku bersolat hajat memohon kesejahteraan diri dan keluargaku.

Selesai solat hajat, aku berteleku sambil berzikir munajat dan berselawat ke atas Nabi s.a.w. sehinggalah masuk waktu Subuh. Sesudah itu, aku yang masih betelekung mengejutkan suami tercinta untuk sama-sama bersolat Subuh. Beralaskan telekung, kusentuh kakinya beberapa kali namun tiada gerak balas kuterima. Selalunya dia tidak begitu kerana dialah yang sering mengejutkan aku dari tidur untuk berjemaah bersamanya.

Setelah hampir sepuluh minit tiada sebarang pergerakan, lantas aku bertindak membatalkan wudukku dengan membenarkan tanganku menyentuh kakinya. Sejuk sekali kakinya...aku mula panik, kusentuh pula tangannya dan kuletakkan tanganku pada hidungnya. Ya Allah! Dugaan apakah ini ? Mengapa dia pula yang Kau ambil? Innalillah hiwainna ilai hiraji'un.

Moral :
Kita merancang, Allah juga merancang. Sudah tentulah perancangan Allah yang terbaik untuk kita.

Wednesday, December 10, 2008

Merisik & ke Tanjung Leman

Hari ini, tepat jam 10 pagi saya bertolak ke Felda Tenggaroh 6 bersama keluarga untuk menyempurnakan adat pertama dalam membentuk institusi perkahwinan mengikut adat Melayu kita iaitu merisik bakal suri adik lelaki bongsu saya, si Saiful.

Memandangkan bakal pengantin tidak mahu bertunang, kami sekalikan majlis ini untuk menghantar tanda. Perjalanan yang mengambil masa tiga jam setengah benar-benar meletihkan apabila saya terpaksa membawa dua anak kecil bersama.

Rombongan yang hanya dua buah kereta disambut oleh bakal besan ibu saya dengan jamuan makan tengah hari. Selepas jamuan, barulah perbincangan dibuat sambil menikmati juadah minum petang pula.

Dengan penerimaan tiga dulang hadiah termasuk cincin yang dibawa, pihak perempuan menyatakan hasrat untuk melangsungkan majlis akad nikah pada cuti sekolah bulan Jun nanti. Soal jumlah wang dan barangan hantaran juga telah dipersetujui kedua belah pihak.
Hanya menunggu hari langsung dan urusan pejabat kadi sahaja.

Setelah semuanya sepakat, kami memohon diri untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu ke pantai Tanjung Leman. Memandangkan hari sudah agak petang, kami hanya sebentar di pantai berpasir halus itu sambil merakam beberapa gambar untuk kenangan.


Yang paling menyeronokkan ialah apabila melihat anak-anak berlari-lari di tepi pantai sambil dipukul angin sejuk dari lautan yang luas.

Perjalanan pulang terasa amat lambat sekali apatah lagi apabila hari sudah menjelang malam. Sempat juga kami mengisi perut yang dah berkeroncong di bandar Kluang sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Jam 10.15 malam barulah kami sampai ke rumah. Pastu apalagi...terbaringla kejap untuk menghilangkan keletihan. Tapi bebudak memang tak reti penat...mana tidaknya, balik-balik je sibuk dengan mainan diorang.

Apapun, diharap ikatan yang bakal terjalin akan kesampaian dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga Allah memberkati perjalanan jodoh adik saya, si Saiful Safri dan pasangannya, Julia. InsyaAllah.

Monday, December 8, 2008

Mukmin, Fasiq & Munafiq

Di Aidil Adha ini, sejenak saya terfikir di manakah kedudukan saya sebagai muslim. Adakah saya tergolong di antara orang-orang muslim yang mukmin? Hanya Allah saja yang dapat menilainya. Sebagai manusia yang mempunyai pegangan, kita harus berusaha, berdoa dan tawakal.

Bagi saya, orang mukmin adalah mereka yang mentaati perintah Allah iaitu dengan mengerjakan perkara-perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang olehNya. Seorang yang mukmin melaksanakan rukun-rukun Islam dan mengimani rukun Iman dengan sebenar-benarnya. Selain itu, mereka adalah orang-orang yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Mereka juga mempunyai akhlak yang mulia malah sering menyeru orang lain ke arah kebaikan dan menegur mereka yang membuat salah.

Namun untuk menjadi mukmin yang sejati, ianya bergantung kepada tahap keimanan seseorang. Iman seseorang boleh meningkat dan boleh menurun. Untuk kekal sebagai seorang mukmin sejati, kita harus sentiasa istiqamah iaitu sentiasa konsisten dalam melakukan kebaikan. Selain itu, kita tidak boleh bersifat riak dalam beramal kerana dikhuatiri menjadi syirik. Oleh kerana itu, bersederhanalah kerana sebaik-baik amal itu adalah yang sederhana tetapi berterusan.

Tidak dinafikan ada di kalangan muslim yang melaksanakan rukun Islam dan mengimani rukun iman tetapi turut mengingkari suruhan Allah dalam meninggalkan apa yang dilarangNya. Mereka ini dikenali sebagai orang-orang yang fasiq. Di antara sifat-sifat orang yang fasiq ialah sering melewatkan waktu solat, buruk sangka, suka mengumpat, bercakap kotor dan berlagak sombong.

Orang yang fasiq boleh juga diumpamakan seperti orang yang tahu bahawa apa yang dilakukan itu salah di sisi Allah tetapi tetap melakukannya. Di dalam Al-Quran, Allah sering mengatakan bahawa mereka ini adalah antara orang-orang yang celaka.

Biasanya orang-orang yang fasiq ini menyedari yang mereka melakukan kesalahan tetapi mereka enggan atau menangguhkan untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Mereka menganggap yang mereka tidak bersalah atau akan diberi kesempatan oleh Allah untuk bertaubat walhal mereka inilah orang yang lalai dan amat rugi sekiranya mereka tidak sempat bertaubat.

Sebenarnya ramai di antara orang-orang fasiq telah diberi hidayah dan peringatan oleh Allah tetapi mereka keberatan untuk menyegerakan taubat dan berhenti dari mengingkari suruhan Allah. Mungkin kerana kesibukan mencari kesenangan dunia, kemalasan yang bermaharajalela atau bersifat takbur.

Golongan muslim yang paling dilaknat Allah adalah golongan yang mengaku muslim tetapi tidak jujur kepada Allah. Mereka ini adalah golongan munafiq. Sebagai contoh, mereka berbohong dengan mengatakan mereka bersolat dan berpuasa walhal mereka tidak melakukannya langsung. Mereka ini hanya ingin menutup kekurangan diri dengan berkata bohong dengan tujuan orang lain menghormatinya walhal Allah maha mengetahui yang sebenarnya.

Orang-orang yang munafiq boleh dikenali melalui tiga perkara iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji, dia mungkir dan apabila diberi amanah, dia khianat. Orang-orang munafiq ini susah untuk dikenali kerana perwatakan mereka tidak mencerminkan diri mereka sebenarnya. Ramai di antara kita yang terpedaya dengan orang-orang seperti ini kerana sifat mereka yang seperti "talam dua muka".

Sebagai seorang muslim, kita harus memilih untuk menjadi muslim yang bagaimana kerana usaha ke arah itu akan menentukan amalan seharian kita yang bakal dihitung di akhirat nanti. Sudah tentulah setiap muslim mengimpikan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta mendapat balasan syurga. Namun sebagai hambaNya yang tidak sempurna kita tidak sunyi dari silap dan lalai tidak kiralah samaada kita mukmin, fasiq atau munafiq tetapi kembalilah ke jalan yang lurus seperti firman Allah yang berikut:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
(Az-Zumar:53)

Apa yang penting, sentiasalah bertaubat, berdoa dan mengingati Allah. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun dan penerima taubat walaupun anda mukmin, fasiq atau munafiq. Semoga kita diberikan kesudahan hidup yang baik, diampunkan segala dosa dan diterima segala amalan. Ini kerana ramai juga orang yang menyangka diri mereka itu mukmin tetapi sebenarnya mereka itu munafiq di sisi Allah kerana segala yang dilakukan tidak kerana Allah sepenuhnya.

“Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan
pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun
di dalam ibadah kepada Tuhannya”
(Al-Kahfi: 110)
Wallahua'lam.

Sunday, December 7, 2008

Aidil Adha

Esok, seluruh umat Islam akan menyambut Aidil Adha atau dikenali juga sebagai Hari Raya Haji. Setiap tahun, 10 Dzulhijjah pasti mengingatkan kita kepada peristiwa pengorbanan nabi Ibrahim a.s. yang akur dengan perintah Allah agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Pengorbanan Nabi Ibrahim menjadi lambang pengorbanan yang sejati sebagai hamba Allah yang esa. Adakah kita menjadikan peristiwa itu sebagai satu motivasi untuk kita menuju taqwa? Dan sejauh manakah keikhlasan kita dalam mentaati perintahNya?

Mereka yang mampu takkan melepaskan peluang untuk berkorban wang ringgit, masa dan tenaga bagi melahirkan rasa syukur kepada Ilahi di atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakan. Selain menyembelih haiwan, jihad dalam menunaikan ibadah haji juga merupakan suatu pengorbanan yang amat dituntut.

Bagi yang kurang mampu pula, janganlah menjadikan kesempitan hidup sebagai alasan untuk tidak mahu berkorban ke jalan Allah. Kalau hendak seribu daya...tapi kalau dah tak nak tu...macam-macamla alasan...apapun, tepuk dada tanyalah iman.


Pada tahun lepas, hari raya haji jatuh pada 20hb Disember iaitu sama dengan hari lahir yang ke 3 tahun anak sulong saya, si Hakim. Kebetulan pula ada rezeki... kitorang pun buat korban seekor lembu. Semoga ibadah kami ini beroleh ganjaran yang baik dariNya walaupun saya sedikit ragu dengan agihan sebahagian daging korban tersebut.

Bila tiba AidilAdha, terdetik di hati bilalah saya akan menjadi tetamu rumah Allah. Itulah impian saya yang paling tinggi...semoga Allah akan memberi saya rezeki dan kesempatan untuk ke sana suatu hari nanti. InsyaAllah.


Kepada seluruh muslimin dan muslimat, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dan selamat menunaikan ibadah haji kepada para jemaah yang mengerjakan rukun Islam ke 5 pada tahun ini.

Saturday, December 6, 2008

Bercuti

Sempena cuti sekolah yang panjang ni...pasti ramai yang mengambil kesempatan untuk makan angin dan pulang ke kampung apalagi bersempena dengan perayaan Aidil Adha yang bakal disambut 1-2 hari lagi.

Pada minggu lepas, saya sendiri berkesempatan untuk bercuti bersama keluarga. Bercuti kalau setakat balik hari macam tak payah bercuti...at least nak bermalam sehari dua di tempat orang barulah lebih bermakna, tul tak? Kalau dapat 4-5 malam lagi best!

Sebenarnya saya lebih suka percutian yan melibatkan ramai ahli keluarga...bukan setakat kami sekeluarga sahaja malah lebih seronok kalau dapat berkumpul dengan adik beradik yang lain beserta anak-anak saudara...tapi nak buat macam mane, Abang tak suka macam tu pulak...dia lebih suka privacy dan bebas dengan aktiviti sendiri. Nak tak nak saya terpaksalah ikut cara dia....

Setiap orang ada cara tersendiri untuk memenuhi masa cuti mereka. Pada mereka inilah masa untuk bersantai bersama keluarga sendiri sebab mungkin selama ini masa yang ada tidak begitu enjoy dan agak terbatas.

Kalau yang ingin bergembira bersama anak-anak, mestilah kena bawa mereka ke tempat yang menyeronokkan dan baru bagi mereka. Tapi kalau untuk berdua sahaja...mestilah nak ke tempat-tempat yang romantik dan tenang.

Apapun, percutian takkan bermakna kalau masalah peribadi atau kerjaya masih bersarang di kepala. Adalah lebih baik kalau dilupakan buat seketika dan nikmatilah percutian dengan hati yang berbunga-bunga, rileks dan penuh warna-warni.

Akhir sekali...kalau boleh pergilah bercuti di tempat yang indah2 kerana keindahan dunia ciptaanNya dapat memberi seribu ketenangan dan keinsafan. Jangan lupa sambil bercuti ingat Allah banyak2... InsyaAllah cuti anda akan lebih bermakna dan beroleh pahala.

Friday, December 5, 2008

Reunion

Baru-baru ni saya pergi reunion ex-course mate masa kat UiTM Shah Alam. Diorang buat hi-tea kat DePalma Inn Shah Alam. Adela dalam 40% yang datang...mostly student perempuan, yang lelaki cuma 4 ketul aje..

Saya pegi 28 Nov dan stay kat hotel tu dua malam itupun sebab malas nak pusing-pusing cari jalan kalau stay kat tempat lain. Majlisnya pada 29 hb pukul 2 hingga 6 petang. Kebetulan Abang memang nak ke KL sebab nak trade-in dia punya PDA sekali selain pegi shopping dan bercutilah katakan.

Majlisnya ala kadar aje...yang penting bagi saya, saya dapat jumpa kengkawan lama walaupun ada antara best friend saya yang tak dapat datang. Class mate saya cuma Hani, Cha, Chik, Shidi, Kak Ita, Linda, Nenet dan Haida aje yang datang. Kalau nak ikutkan ada 30 orang semuanya.

Mana tidaknya....kebetulan pula pada hari tu salah seorang class mate kitorang, si Hardi naik pelamin....so ada yang pergi ke majlis dia yang dibuat kat Kuantan. Anyway, selamat pengantin baru untuk Hardi dan pasangan....semoga bahagia hingga ke akhir hayat.

Masa reunion tu....kebanyakannya bawak family masing-masing....so, bila ada budak-budak....gamatlah keliling majlis tu. Anak saya yang mulanya takut-takut pun lama-lama dah berlari-lari ke sana ke mari. Nak buat macam mane....budak-budak memang tak reti nak duduk diam.



Yang bestnya bila tiga orang lecturer kitorang turut sama memeriahkan majlis. Tak sangka lepas 8 tahun, diorang still macam tu jugak. Masih nampak sama dan maintain aje...yang kitorang ni ade yang kurus sikit dan ada jugak yang tambah berisi.

Majlis tu santai aje....banyak bagi peluang untuk kitorang borak-borak sambil imbau kenangan lama. Selain tu, ada jugak cabutan bertuah dan ucapan ringkas wakil pelajar dan pensyarah ....pastu apalagi...bergambar2 ler.


Saya nak ucapkan syabas kepada Salwah dan Latif atas kejayaan majlis ini.... diharap kita dapat buat majlis yang lebih grand lagi pada masa akan datang. Tapi apa yang penting ..... kerjasama (macam dalam wonderpets tu..).