Thursday, December 11, 2008

CERPEN : Hening Malam

Malam semakin dingin, musim tengkujuh begini memang seronok berselimut tetapi sejak terjaga dari jam tiga pagi tadi hinggalah sekarang, mata yang kupejamkan tidak sejiwa dengan benakku yang masih berserabut.

Pelbagai perkara terlintas difikiranku terutama sekali soal hidup dan mati, keluarga dan masa depan. Puas sudah aku berselawat dan berzikir, namun mata ini masih belum mahu lelap malah benakku semakin berat memikirkan persoalan yang entah apa-apa.

Ahh...apalah yang perlu aku khuatirkan, bukankah aku telah berusaha melakukan yang terbaik untuk diriku dan orang-orang yang aku sayang. Biarlah Allah sahaja yang menghitungnya dan seharusnya aku bertawakal sahaja kepadaNya.

Soal hidup dan mati, aku tidak boleh nak jangka walaupun penyakit yang kuhadapi ini bakal mengundang maut. Yang penting aku harus mengisi perjalanan hidupku ini dengan sebaiknya. Berteraskan prinsip berpantang maut sebelum ajal, akan kugagahi hidup ini untuk menjadi manfaat kepada yang lain.

Dalam masa sesingkat ini dan kudrat yang semakin lesu, akan kutaati dan kubahagiakan dirimu kerana aku tahu itulah sahaja jalan untukku mengejar syurga. Akan kucurahkan sepenuh kasih dan sayangku untukmu sebagai tanda cintaku yang sejati.

Kupeluk tubuh sasa disisiku sambil membisikkan aku sayang padamu dan seandainya malam ini malam terakhir kita bersama, ampunilah segala dosaku namun jauh dilubuk hatiku mengharap agar esok aku akan dapat terus menatap wajahmu.

Mata yang tidak mahu lelap ini kubuka luas untuk melihat jarum jam Citizen di dinding yang kelihatan samar-samar. Rupanya hanya tinggal tiga puluh enam minit lagi masuklah waktu Subuh. Daripada aku tertidur, akupun bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Sementara menunggu azan Subuh, aku bersolat hajat memohon kesejahteraan diri dan keluargaku.

Selesai solat hajat, aku berteleku sambil berzikir munajat dan berselawat ke atas Nabi s.a.w. sehinggalah masuk waktu Subuh. Sesudah itu, aku yang masih betelekung mengejutkan suami tercinta untuk sama-sama bersolat Subuh. Beralaskan telekung, kusentuh kakinya beberapa kali namun tiada gerak balas kuterima. Selalunya dia tidak begitu kerana dialah yang sering mengejutkan aku dari tidur untuk berjemaah bersamanya.

Setelah hampir sepuluh minit tiada sebarang pergerakan, lantas aku bertindak membatalkan wudukku dengan membenarkan tanganku menyentuh kakinya. Sejuk sekali kakinya...aku mula panik, kusentuh pula tangannya dan kuletakkan tanganku pada hidungnya. Ya Allah! Dugaan apakah ini ? Mengapa dia pula yang Kau ambil? Innalillah hiwainna ilai hiraji'un.

Moral :
Kita merancang, Allah juga merancang. Sudah tentulah perancangan Allah yang terbaik untuk kita.

2 comments:

Neeza Shahril said...

Ini memang cerpen ke nurie? suspen pulak akak..

by the way, pasal batal wudhu tu kan.. akak percaya suami isteri tak batal wudhu.. bukan pasal shafie atau hanafi tapi disebabkan ada hadith sahih yang mengatakan Rasululllah s.a.w pernah alihkan Aisyah dengan tangan sewaktu dia tengah solat. Boleh aje dia sendiri yang beralih kan tapi dia tak beralih. Ustazah akak kat sini pun cakap the same thing. Suami isteri memang boleh bersentuh sampai mati sekalipun.. Wallahu'alam...

nurie said...

Kak neeza,

Ini memang cerpen saya tp takde kena mengena dgn saya.

Thanks for the info pasal wuduk. Actually, saya tau jugak tapi saya ikut shafie dan sy rasa tak jd masalah, kan?