Wednesday, December 10, 2008

Merisik & ke Tanjung Leman

Hari ini, tepat jam 10 pagi saya bertolak ke Felda Tenggaroh 6 bersama keluarga untuk menyempurnakan adat pertama dalam membentuk institusi perkahwinan mengikut adat Melayu kita iaitu merisik bakal suri adik lelaki bongsu saya, si Saiful.

Memandangkan bakal pengantin tidak mahu bertunang, kami sekalikan majlis ini untuk menghantar tanda. Perjalanan yang mengambil masa tiga jam setengah benar-benar meletihkan apabila saya terpaksa membawa dua anak kecil bersama.

Rombongan yang hanya dua buah kereta disambut oleh bakal besan ibu saya dengan jamuan makan tengah hari. Selepas jamuan, barulah perbincangan dibuat sambil menikmati juadah minum petang pula.

Dengan penerimaan tiga dulang hadiah termasuk cincin yang dibawa, pihak perempuan menyatakan hasrat untuk melangsungkan majlis akad nikah pada cuti sekolah bulan Jun nanti. Soal jumlah wang dan barangan hantaran juga telah dipersetujui kedua belah pihak.
Hanya menunggu hari langsung dan urusan pejabat kadi sahaja.

Setelah semuanya sepakat, kami memohon diri untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu ke pantai Tanjung Leman. Memandangkan hari sudah agak petang, kami hanya sebentar di pantai berpasir halus itu sambil merakam beberapa gambar untuk kenangan.


Yang paling menyeronokkan ialah apabila melihat anak-anak berlari-lari di tepi pantai sambil dipukul angin sejuk dari lautan yang luas.

Perjalanan pulang terasa amat lambat sekali apatah lagi apabila hari sudah menjelang malam. Sempat juga kami mengisi perut yang dah berkeroncong di bandar Kluang sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Jam 10.15 malam barulah kami sampai ke rumah. Pastu apalagi...terbaringla kejap untuk menghilangkan keletihan. Tapi bebudak memang tak reti penat...mana tidaknya, balik-balik je sibuk dengan mainan diorang.

Apapun, diharap ikatan yang bakal terjalin akan kesampaian dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga Allah memberkati perjalanan jodoh adik saya, si Saiful Safri dan pasangannya, Julia. InsyaAllah.

1 comment:

Neeza Shahril said...

akak dulu pun macam tu. Masa merisik, ayah akak kata, tak payahlah bertunang. Terus kahwin aje nanti sebab kesian kat family lelaki kena datang jauh. Tapi masa tu cinci tanda ajelah. Takde cincin tunang. Tapi akak tak kisah sangat pun.. Tapi kan, lepas dekat 2 tahun barulah majlis kahwin langsung.. sebabnya.. biasa lah.. sibuk la.. itu la ini laa.. Alhamdulillah, dah nak masuk 4 dah pun anak akak... :)