Wednesday, December 24, 2008

CERPEN: Cinta Sejati

"Sayang dengar sini baik-baik ye..." kata-kata Zafrul terhenti di situ lalu dia menarik nafas panjang. Diana yang dari tadi sabar mendengar di ganggang telefon mendengus tetapi tetap sabar menunggu ayat seterusnya.

Dengan perlahan Zafrul melafazkan, "Walau apapun yang akan terjadi antara kita, Abang tetap sayang Sayang sampai mati". Dia memberhentikan ayatnya setakat itu seraya menunggu maklum balas dari Diana.

Diana terdiam seketika, berkerut juga dia memikirkan maksud kata-kata Zafrul sebentar tadi. Apa yang akan terjadi? Dia akan mati ke? Atau dia akan pergi jauh? Atau kami akan berpisah ke? Apapun dia harus mencari ayat yang sesuai untuk diutarakan demi mengorek cerita disebalik kata-kata tersebut.

"Apa maksud Abang? Apa yang akan jadi, Bang? Saya tak fahamla maksud Abang", bertalu lembut ayat yang keluar dari mulut Diana.

Zafrul terdiam seketika kemudian bersuara "Abang rasa hubungan kita cukuplah sekadar berkawan sahaja".

"What?" Kali ini Diana tidak mampu bertenang. "Why?" perasaan ingin tahunya terus membuak. Kenapa baru sekarang Zafrul berkata demikian? Kenapa tidak lima tahun dahulu? Hatinya mula membenarkan keraguan yang dirasainya sejak tiga bulan kebelakangan ini. Cinta jarak jauhnya sudah terasa sedikit pudar.

Zafrul terdiam membisu sambil cuba membayangkan bagaimana reaksi wajah jelita Diana di saat itu. Nasib baiklah tidak bertentang mata. Kalau tidak, tak terucaplah kata-kata seterusnya. "Abang dah bertunang", katanya pendek sahaja.

"Hah! Dengan siapa? Bila?" dengan pantas Diana bertanya. Dibenaknya terkenang janji manis Zafrul untuk melamarnya setahun yang lalu. Lupakah Zafrul pada semua itu? Atau sengajakah Zafrul untuk mengkhianati cinta mereka?

"Takdir tidak menjodohkan kita. Abang tak dapat nak ceritakan semuanya sekarang. Tapi suatu hari nanti abang akan cerita jugak pada sayang" Zafrul meminta tangguh untuk menjelaskan segalanya.

"No. I want you to tell me now! Please..." rayu Diana kerana bimbang dia akan tersalah tafsir atas tindakan Zafrul yang dalam diam menjalin hubungan serius bersama insan lain.

"Maaflah. Abang takut sayang tak dapat terima apa yang abang nak bagi tau nanti", Zafrul mengharap Diana tidak terlalu mendesak.

Diana kebingungan seketika. Tanpa angin, tanpa ribut, mahligai impiannya musnah sekelip mata. Dia menahan sebak di dada sambil memikirkan apa yang harus dia lakukan seterusnya. Setelah menarik nafas panjang, Diana bersuara " Okaylah Bang, macam nilah...saya sanggup berhabis bil telefon malam ini asalkan Abang ceritakan pada saya macam mana semua ini boleh berlaku. Please......", sekali lagi dia merayu.

" Abang tak tau macam mana nak mula cerita ", Zafrul cuba mengelak dari bercerita lebih lanjut.
Dengan tenang Diana memancing, " Ok, kalau Abang tak tau nak cerita, jawab semua soalan saya dengan jujur, boleh? ". Diana mula bermain psikologi. Baginya terlalu penting untuk dia mengetahui penyebab semua ini berlaku walaupun takdir sudah menentukan percintaan mereka hanya setakat ini.

Zafrul terkesima seketika, tetapi cuba untuk mengelak dari terus berbicara, "Baiklah, tapi bukan ke lebih baik kita cerita bila kita jumpa nanti ". Zafrul sedar yang semua ini adalah salahnya, dia harus menghadapi Diana untuk memberi penjelasan.

Diana mula melenting, " Jumpa? Bila? ". Diana tidak yakin yang Zafrul akan mahu bertemu dengannya lagi. Malah dia sendiri akan sakit hati kalau memandang muka Zafrul nanti...silap-silap tangannya pula yang akan naik ke muka Zafrul.

" Minggu depan ke...", Zafrul memberi harapan.

"No! Ok, kalau Abang tak nak bagitau sekarang takpe, kita takkan berjumpa lagi. Cukupla sampai di sini sahaja hubungan kita. Bye." Diana menghempas ganggang telefon rumahnya yang baru seminggu ditukar. Sebenarnya Diana tidak mahu lagi mendengar Zafrul berdolak dalik kerana belum tentu akan ada kejujuran di sebalik kata-katanya nanti.

Keras juga rupanya hati Diana. Zafrul tidak menyangka Diana akan bertindak demikian. Seingatnya Diana seorang yang manja dan sering minta dipujuk apabila hatinya dilukai. Tapi kali ini Diana lain benar.

Setelah telefon dihempas, dan dengan air mata yang berlinangan, Diana berbicara sendiri, " Terima kasih Ya Allah, Kau telah membebaskan aku dari belenggu dosa yang selama ini memperbodohkan aku. Aku sedar aku tak perlukan yang lain selain dariMu. Ampunkanlah segala dosa-dosaku yang lalu. Aku ingin mencintaiMu. Berilah aku petunjukMu dan tunjukkanlah aku jalan menujuMu. Aku ingin kembali kepadaMu".

Moral:

Mencintai Allah adalah jauh lebih baik dari mencintai sesama insan.

2 comments:

Neeza Shahril said...

dah tentu kan nurie.. cinta dengan Allah tak akan pernah ada rasa kecewa..
bercinta dengan manusia sentiasa berisiko dan mengundang dosa..

Edazman said...

salam nurie...wahhhhh dah tulis cerpen ya!!!...tahniah!..rindu betul pada tulisan nurie....lepas ni eda kena selalu dtg sini sbb eda dah ketinggalan citer2 terkini yg nurie tulis...laptop eda masuk wad baru2 ni...lagipun eda balik kg...