Monday, December 8, 2008

Mukmin, Fasiq & Munafiq

Di Aidil Adha ini, sejenak saya terfikir di manakah kedudukan saya sebagai muslim. Adakah saya tergolong di antara orang-orang muslim yang mukmin? Hanya Allah saja yang dapat menilainya. Sebagai manusia yang mempunyai pegangan, kita harus berusaha, berdoa dan tawakal.

Bagi saya, orang mukmin adalah mereka yang mentaati perintah Allah iaitu dengan mengerjakan perkara-perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang olehNya. Seorang yang mukmin melaksanakan rukun-rukun Islam dan mengimani rukun Iman dengan sebenar-benarnya. Selain itu, mereka adalah orang-orang yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Mereka juga mempunyai akhlak yang mulia malah sering menyeru orang lain ke arah kebaikan dan menegur mereka yang membuat salah.

Namun untuk menjadi mukmin yang sejati, ianya bergantung kepada tahap keimanan seseorang. Iman seseorang boleh meningkat dan boleh menurun. Untuk kekal sebagai seorang mukmin sejati, kita harus sentiasa istiqamah iaitu sentiasa konsisten dalam melakukan kebaikan. Selain itu, kita tidak boleh bersifat riak dalam beramal kerana dikhuatiri menjadi syirik. Oleh kerana itu, bersederhanalah kerana sebaik-baik amal itu adalah yang sederhana tetapi berterusan.

Tidak dinafikan ada di kalangan muslim yang melaksanakan rukun Islam dan mengimani rukun iman tetapi turut mengingkari suruhan Allah dalam meninggalkan apa yang dilarangNya. Mereka ini dikenali sebagai orang-orang yang fasiq. Di antara sifat-sifat orang yang fasiq ialah sering melewatkan waktu solat, buruk sangka, suka mengumpat, bercakap kotor dan berlagak sombong.

Orang yang fasiq boleh juga diumpamakan seperti orang yang tahu bahawa apa yang dilakukan itu salah di sisi Allah tetapi tetap melakukannya. Di dalam Al-Quran, Allah sering mengatakan bahawa mereka ini adalah antara orang-orang yang celaka.

Biasanya orang-orang yang fasiq ini menyedari yang mereka melakukan kesalahan tetapi mereka enggan atau menangguhkan untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Mereka menganggap yang mereka tidak bersalah atau akan diberi kesempatan oleh Allah untuk bertaubat walhal mereka inilah orang yang lalai dan amat rugi sekiranya mereka tidak sempat bertaubat.

Sebenarnya ramai di antara orang-orang fasiq telah diberi hidayah dan peringatan oleh Allah tetapi mereka keberatan untuk menyegerakan taubat dan berhenti dari mengingkari suruhan Allah. Mungkin kerana kesibukan mencari kesenangan dunia, kemalasan yang bermaharajalela atau bersifat takbur.

Golongan muslim yang paling dilaknat Allah adalah golongan yang mengaku muslim tetapi tidak jujur kepada Allah. Mereka ini adalah golongan munafiq. Sebagai contoh, mereka berbohong dengan mengatakan mereka bersolat dan berpuasa walhal mereka tidak melakukannya langsung. Mereka ini hanya ingin menutup kekurangan diri dengan berkata bohong dengan tujuan orang lain menghormatinya walhal Allah maha mengetahui yang sebenarnya.

Orang-orang yang munafiq boleh dikenali melalui tiga perkara iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji, dia mungkir dan apabila diberi amanah, dia khianat. Orang-orang munafiq ini susah untuk dikenali kerana perwatakan mereka tidak mencerminkan diri mereka sebenarnya. Ramai di antara kita yang terpedaya dengan orang-orang seperti ini kerana sifat mereka yang seperti "talam dua muka".

Sebagai seorang muslim, kita harus memilih untuk menjadi muslim yang bagaimana kerana usaha ke arah itu akan menentukan amalan seharian kita yang bakal dihitung di akhirat nanti. Sudah tentulah setiap muslim mengimpikan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta mendapat balasan syurga. Namun sebagai hambaNya yang tidak sempurna kita tidak sunyi dari silap dan lalai tidak kiralah samaada kita mukmin, fasiq atau munafiq tetapi kembalilah ke jalan yang lurus seperti firman Allah yang berikut:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
(Az-Zumar:53)

Apa yang penting, sentiasalah bertaubat, berdoa dan mengingati Allah. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun dan penerima taubat walaupun anda mukmin, fasiq atau munafiq. Semoga kita diberikan kesudahan hidup yang baik, diampunkan segala dosa dan diterima segala amalan. Ini kerana ramai juga orang yang menyangka diri mereka itu mukmin tetapi sebenarnya mereka itu munafiq di sisi Allah kerana segala yang dilakukan tidak kerana Allah sepenuhnya.

“Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan
pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun
di dalam ibadah kepada Tuhannya”
(Al-Kahfi: 110)
Wallahua'lam.

1 comment:

Neeza Shahril said...

Nurie, baru2 ni akak belajar yang orang Islam terbahagi kepada 3 iaitu: Muslim, Mukmin dan Ihsan. Semua orang muslim tetapi tak semuanya mukmin. Juga, semua mukmin tapi tak semua Ihsan itu mukmin. Maknanya darjag terbaik bagi seorang Muslim ialah Ihsan.. memang susah nak kesitu.. tapi kalau kita ada usaha dan niat, Insyaallah, akan sampai juga.. Ameen...